X

Kindly register in order to view this article
!

Lima kematian akibat denggi di Melaka

Rahmad (kanan) melihat keadaan belakang di sebuah rumah penduduk di Kampung Bukit Pulau yang tidak mementingkan aspek kebersihan.
A
A

MELAKA TENGAH - Melaka merekodkan lima kes kematian akibat demam denggi dengan peningkatan kes sebanyak 15.49 peratus dalam tempoh Januari tahun ini sehingga 6 Jun lalu.

Exco Kesihatan dan Antidadah, Rahmad Mariman berkata, peningkatan yang dilaporkan membabitkan 1,044 kes pada tahun tahun ini berbanding 904 kes dalam tempoh yang sama pada tahun lalu.

Menurutnya, daripada jumlah itu daerah Melaka Tengah mencatatkan bilangan kes paling tinggi iaitu 695 kes diikuti daerah Alor Gajah (161 kes) dan Jasin (198 kes).

Katanya, Jabatan Kesihatan Negeri dan Pejabat Kesihatan daerah komited memerangi wabak denggi dan berharap masyarakat bekerjasama bagi mengekang wabak denggi daripada terus meningkat.

"Dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berlaku peningkatan kes denggi berbanding tahun lalu dan minggu lalu sahaja berlaku peningkatan 21 kes.

"Jadi dalam pada kita fokus kepada kes koronavirus (Covid-19) mungkin orang ramai terlupa mengenai wabak denggi yang juga serius, walaupun Covid-19 berlaku penurunan namun denggi masih berlaku peningkatan," katanya.

Rahmad berkata demikian kepada pemberita selepas Lawatan di Kampung Bukit Pulau, Bukit Katil di sini hari ini.

Terdahulu, Rahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Molek meninjau kawasan kampung berkenaan yang dikesan antara 10 hotspot lokaliti wabak denggi yang dikesan di negeri ini.

Rahmad berkata, sebuah jawatankuasa khas akan ditubuhkan bagi menguruskan gerak kerja mencegah pembiakan nyamuk aedes di Melaka.

"Kita juga sedang menubuhkan jawatankuasa bebas Covid-19 yang akan disekalikan dengan wabak ini termasuk mengaktifkan peranan Program Skuad Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah Laku (Combi) untuk membantu menghapuskan denggi.

"Aktiviti gotong-royong kendiri di bawah Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) juga perlu diperhebatkan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan bagi membanteras wabak ini," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!