'Arwah mahu balik Julai nanti'

Tengku Endut Tengku Jusoh
Tengku Endut Tengku Jusoh
A
A
A

BESUT - Allahyarham Tengku Endut Tengku Jusoh, 53, rakyat Malaysia yang meninggal dunia kerana koronavirus (Covid-19) di Qatar semalam ada menyatakan hasrat mahu pulang ke tanah air pada Julai depan.

Anak saudara Allahyarham, Tengku Anita Tengku Husin, 53, berkata, hasrat itu dimaklumkan ketika beliau berhubung dengan bapa saudaranya sebelum keadaan Allahyarham semakin serius selepas dijangkiti Covid-19.

“Kami selalu berhubung melalui WhatsApp, dia ada cakap mahu balik bulan tujuh nanti tapi apakan daya arwah meninggal dunia di sana,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Air Tawar di sini hari ini.

Tengku Anita berkata, beliau mengetahui kematian bapa saudaranya yang mesra dipanggil pak su selepas dimaklumkan anak Allahyarham kira-kira jam 4.15 petang dan jenazah Allahyarham selamat disemadikan di sana selepas waktu Maghrib semalam.

Katanya, walaupun masih bersedih dengan kematian bapa saudara yang juga merupakan abang Allahyarham, Tengku Azim Tengku Jusoh, 68, pada 16 Mei lalu namun mereka sekeluarga tetap reda dengan kehilangan arwah.

Menurut Tengku Anita, Allahyarham yang merupakan anak bongsu daripada enam beradik sudah lima tahun bekerja di Qatar manakala isterinya, Salwana Ibrahim bersama enam anak tinggal di Selangor.

“Kali terakhir dia pulang ke Malaysia pada awal tahun lalu dan turut menjalani pembedahan apendiks di sini.

“Saya dimaklumkan arwah dijangkiti Covid-19 daripada rakan serumahnya dan sepanjang berada di hospital dia sering maklumkan keadaannya di sana melalui WhatsApp, kami berdua memang rapat kerana sebaya.

Artikel Berkaitan:

“Dia juga ada mengadu sakitnya Covid-19 namun sejak keadaannya semakin serius dan terpaksa memakai mesin pernafasan, tiada lagi perkembangan daripadanya sehinggalah kami dimaklumkan berita kematian arwah semalam,” katanya.

Allahyarham Tengku Endut yang berasal dari Kampung Air Tawar, Besut bekerja sebagai jurutera di Qatar Airways disahkan meninggal dunia di Qatar semalam dipercayai akibat Covid-19.

Allahyarham disahkan meninggal dunia di Hamad Medical Centre, Doha pada jam 11 pagi waktu tempatan (jam 4 petang waktu Malaysia).

Allahyarham pernah bertugas di Malaysian Airlines System (MAS) sebelum menyertai Qatar Airways.

Perkara itu dikongsikan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di akaun Facebook rasminya.