Aktiviti perniagaan di Pahang boleh beroperasi hingga 10 malam

Semua premis dan aktiviti perniagaan di Pahang dibenarkan beroperasi bermula 7 pagi hingga 10 malam berkuat kuasa hari ini. - Foto Bernama
Semua premis dan aktiviti perniagaan di Pahang dibenarkan beroperasi bermula 7 pagi hingga 10 malam berkuat kuasa hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang membenarkan premis dan aktiviti perniagaan beroperasi bermula dari 7 pagi hingga 10 malam dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) berkuat kuasa hari ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Wan Ismail berkata, garis panduan itu dikeluarkan susulan maklum balas yang diterima khususnya dalam kalangan persatuan dan peniaga kedai makan di negeri ini.

"Jadi, kerajaan Pahang bersetuju untuk melanjutkan tempoh operasi semua premis dan aktiviti perniagaan bermula 7 pagi hingga 10 malam kecuali bagi sektor yang dibenarkan (essential) mengikut kelulusan lesen perniagaan asal seperti stesen minyak, kilang dan klinik.

"Keputusan itu dibuat hasil perbincangan lanjut dengan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr Salehuddin Ishak serta agensi-agensi termasuk Majlis Keselamatan Negeri (MKN) dan Jabatan Kesihatan Negeri, kita bersedia mengubah waktu operasi bagi aktiviti perniagaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kelmarin, Wan Rosdy mengumumkan tempoh operasi bagi premis dan aktiviti perniagaan ditetapkan bermula 7 pagi hingga 9.30 malam.

Beliau berkata, keputusan terbaharu itu diharapkan memadai setakat ini dan semakan akan dibuat dari masa ke masa berpandukan tahap ancaman wabak pandemik koronovirus (Covid-19).

Menurutnya, ia termasuk aspek kepatuhan rakyat terhadap garis panduan serta prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

"Saya berharap, kita tidak hilang fokus sebaliknya terus memberi tumpuan dalam menjayakan langkah-langkah bagi membendung wabak pandemik ini yang masih menggugat kesihatan awam di dunia, negara dan negeri ini," katanya.

Artikel Berkaitan: