PKPP: Kuantan kembali rancak

Kuantan kembali rancak apabila hampir keseluruhan premis perniagaan dibenarkan beroperasi.
Kuantan kembali rancak apabila hampir keseluruhan premis perniagaan dibenarkan beroperasi.
A
A
A

KUANTAN- Daerah Kuantan kembali rancak selepas Kerajaan Pahang membenarkan premis perniagaan kembali beroperasi dengan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Tinjauan Sinar Harian di Pusat Bandar Kuantan mendapati kebanyakan premis perniagaan sudah mula dibuka dan keadaan kembali normal berbanding sebelum ini.

Malah, rata-rata pemilik premis perniagaan juga mengutamakan SOP yang ditetapkan terutama pemakaian topeng muka, cecair sanitasi tangan dan pemeriksaan suhu badan serta penjarakkan sosial.

Peniaga makanan, Roslan Abu Bakar, 45, berkata, kini dia menarik nafas lega apabila kerajaan membenarkan urusniaga dijalankan daripada 7 pagi sehingga 10 malam.

Menurutnya, kebenaran ini membolehkan dirinya menjana pendapatan semula selepas beberapa bulan tidak dapat berniaga.

Orang ramai membeli belah dengan mematuhi SOP yang ditetapkan sewaktu berada di premis perniagaan.
Orang ramai membeli belah dengan mematuhi SOP yang ditetapkan sewaktu berada di premis perniagaan.

"Syukur bila dapat berniaga semula dan kami akan patuhi semua SOP yang ditetapkan Kerajaan Pahang bagi memastikan tiada jangkitan koronovirus (Covid-19).

"Langkah keselamatan telah diambil sebaiknya dan pelanggan yang memasuki kedai juga mematuhi SOP ditetapkan," katanya ketika ditemui Sinar Harian hari ini.

Artikel Berkaitan:

Bagi pekerja di sebuah pusat penjualan cermin mata, Azizah Ahmad,35, berkata, pematuhahan SOP ditetapkan Kerajaan Kerajaan Pahang akan terus dilaksanakan.

"Bila dah dibenarkan beroperasi kita sebagai pekerja lega dan sekurangnya gaji untuk menampung kehidupan.

"Bukan itu sahaja, ekonomi negara juga dapat dijana dengan adanya urusan jual beli," katanya.

Beliau menzahirkan rasa terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan khususnya Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana memberi kebenaran untuk semua jenis perniagaan beroperasi.

Sementara itu, Danial Sulaiman, 30, dari Taman Tas, di sini dia memasuki bandar untuk membeli cermin mata selepas premis dibuka.

"Memang sukar untuk mendapatkan cermin mata sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sebaik kerajaan membenarkan premis perniagaan dibuka, saya dapat melakukan banyak perkara yang tertangguh sebelum ini.

"Saya harap pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini tidak berlaku penularan wabak Covid-19. Diharapkan orang ramai khususnya warga Kuantan mengikut arahan Kementerian Kesihatan supaya menjaga kesihatan dan jika tiada keperluan berurusan sebaiknya kekal di rumah," katanya.