Sidang DUN: Pahang sedia pertimbang Teluk Gading sebagai Bandar Maritim Rompin

Mohammad Fakhruddin.
Mohammad Fakhruddin.
A
A
A

KUANTAN – Kerajaan Negeri Pahang sedia mempertimbangkan cadangan penjenamaan semula Teluk Gading sebagai Bandar Maritim Rompin bagi memperkukuh identiti kawasan itu sebagai pusat pembangunan industri maritim dan perikanan.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri, Datuk Seri Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, cadangan berkenaan dilihat berpotensi merancakkan pembangunan serta ekonomi setempat.

Menurutnya, Pahang mempunyai pelbagai keistimewaan dan tarikan tersendiri yang boleh diketengahkan, termasuk potensi Teluk Gading sebagai sebuah bandar maritim.

"Kita memang bertuah kerana di Pahang ini macam-macam kita ada. Bandar Diraja kita ada, Cameron Highlands, Genting Highlands, pantai, paya gambut terbesar dan Pulau Tioman yang merupakan antara 10 pulau tercantik. Bandar Maritim Rompin juga boleh kita ketengahkan lagi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dikemukakan Datuk Seri Dr Mohd Johari Hussain (BN- Tioman) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Sri Pahang di sini pada Selasa.

Mohammad Fakhruddin berkata, pembangunan kawasan itu sebenarnya sudah diberi perhatian menerusi Rancangan Tempatan Daerah Rompin 2035 (Penggantian) yang menggariskan Teluk Gading sebagai pusat penempatan utama daerah.

Katanya, rancangan berkenaan turut mencadangkan pembangunan zon maritim dan perikanan menerusi Teras 1, iaitu pembangunan sistematik industri berasaskan perikanan dan hasil laut.

"Antara komponen pembangunan yang dikenal pasti termasuk pusat pengumpulan hasil laut, terminal feri dan bot, kemudahan depo penyimpanan dan perkhidmatan industri.

"Selain itu, pembangunan industri pembuatan bagi aktiviti membaiki bot serta membina kapal baharu, termasuk industri perkapalan dan perikanan turut menjadi antara perancangan yang diberi perhatian," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, Rancangan Kawasan Khas (RKK) Teluk Gading turut memberi tumpuan kepada pembangunan Zon 3 melibatkan kawasan pesisir Sungai Endau dan industri maritim.

Jelasnya, rancangan itu turut mengenal pasti potensi industri maritim dan aktiviti perikanan selain kewujudan bengkel membaiki bot serta industri perkimpalan kapal di kawasan berkenaan.

"Cadangan pembinaan kilang bot dan kapal nelayan serta penyediaan kemudahan dermaga atau dockyard juga boleh diteliti menerusi pendekatan pembangunan industri maritim secara bersepadu.

"Antara perkara yang perlu diberi perhatian termasuk mengenal pasti kawasan bersesuaian untuk aktiviti pembinaan bot, pembaikan badan kapal, penyelenggaraan enjin serta penyediaan perkhidmatan sokongan kepada bot dan kapal nelayan," ujarnya.

Sementara itu katanya, penilaian terhadap keperluan jeti, dermaga, kawasan tambatan, ruang kerja pembaikan, peralatan pengendalian serta akses pengangkutan juga perlu dilaksanakan.

Beliau berkata, potensi pelaburan swasta, usaha sama dan penglibatan pengusaha perikanan serta industri maritim turut perlu diteroka bagi memastikan pembangunan dirancang mampu dilaksanakan secara berdaya maju.

"Pada masa sama, aspek kesesuaian tapak, status pemilikan tanah, keselamatan pelayaran, keperluan teknikal dan perlindungan ekosistem Sungai Endau serta kawasan pesisir perlu diambil kira," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!