Penganjur pasar malam perlu kemuka SOP: MBSP

Datuk Rozali Mohamud
Datuk Rozali Mohamud
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Semua penganjur pasar malam, pasar tani, pasar pagi, dan kenderaan saji, di daerah Seberang Perai diminta mengemukakan cadangan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di lokasi masing-masing, bagi membolehkan mereka beroperasi semula 15 Jun ini.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Datuk Rozali Mohamud berkata, para penganjur boleh mengemukakan cadangan itu menerusi laman sesawang MBSP.

“Jika tidak ada permohonan, maka pasar-pasar, bazar atau ‘uptown’ di lokasi berikut tidak dibenarkan untuk beroperasi,” katanya menerusi siaran langsung di laman Facebook rasmi MBSP hari ini.

Beliau berkata, antara pelaksanaan SOP yang perlu dicadangkan dan dipatuhi oleh para penganjur adalah, melaksanakan proses sanitasi dan pembersihan di tapak yang diselia, menyediakan laluan keluar dan masuk pelanggan, meminimumkan kemasukan pelanggan, serta tidak membenarkan kanak-kanak di bawah 12 tahun, untuk memasuki tapak pasar.

Selain itu katanya, antara lokasi yang menepati penganjuran pasar adalah di jalan susur, tanah kosong, jalan mati, jalan raya yang tidak sibuk, perkarangan kompleks awam, dan penjaja MBSP.

“Saya ingin ingatkan bahawa tidak ada warga asing yang dibenarkan menjalankan perniagaan atau membantu peniaga, menjalankan perniagaan. Para penganjur juga bertanggungjawab untuk membuat jadual penggiliran peniaga, sekiranya ruang yang disediakan tidak mampu menampung bilangan peniaga.

“Peniaga juga dihadkan untuk menggunakan keluasan 20 kaki x 20 kaki sahaja untuk gerai masing-masing dan hanya boleh menerima sehingga lima pelanggan sahaja dalam satu-satu masa,” tambahnya.

Dalam pada itu Rozali berkata, MBSP juga akan menguatkuasakan Enakmen Pengasingan Sisa Di Punca di semua pasar malam, dengan mewajibkan para penganjur menyediakan plastik sampah kepada peniaga, serta melaksanakan pengasingan sampah yang boleh dikitar semula.

Artikel Berkaitan:

Katanya, sekiranya peniaga ingin mengumpul sampah sendiri untuk dijual adalah dibenarkan. - Bernama