X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 25 Jun 2022

Sindiket dadah di kondominium mewah diserbu

Anbalagan (dua, kanan) bersama pegawainya menunjukkan bahan rampasan berkenaan yang dipamerkan pada sidang media di Ibu Pejabat Daerah Barat Daya hari ini.- Foto Bernama
A
A

BALIK PULAU - Polis membongkar kegiatan seorang lelaki yang menjadikan sebuah unit kondominium mewah sebagai makmal memproses dadah dan merampas pelbagai bahan terlarang itu bernilai RM124,398 dalam serbuan di Sungai Nibong dan Bayan Lepas, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A Anbalagan berkata, lelaki berusia 31 tahun dan bekerja sebagai pemandu lori itu ditahan dalam serbuan pertama di kawasan Sungai Nibong pada pukul 5.00 petang dan polis merampas bungkusan mengandungi heroin serta syabu daripadanya.

"Bertindak hasil maklumat dan risikan, polis menahan lelaki itu ketika sedang memandu sebuah kereta, dan pemeriksaan lanjut ke atasnya menemukan satu bungkusan heroin seberat 505 gram dan 15 peket kecil syabu seberat 30.5gram.

"Semasa ditahan dia dipercayai dalam perjalanan untuk menjual semua dadah bernilai RM11,100 itu," katanya pada sidang akhbar, di sini hari ini.

Beliau berkata, susulan soal siasat, polis kemudiannya menyerbu sebuah kondominium di kawasan Persiaran Bayan Indah di Bayan Lepas pada 9.30 malam, dan menemui pelbagai peralatan serta bahan kimia yang disyaki untuk memproses dadah.

Katanya, siasatan mendapati lelaki itu menjadikan kondominium mewah berkenaan sebagai makmal memproses dadah sebelum dibungkus dan dijual kepada pelanggan.

"Hasil pemeriksaan lanjut dalam rumah itu, polis merampas 2,914 gram heroin, 365gram syabu, 232gram heroin base serta 16,738g kafein yang kesemuanya bernilai RM113,298 serta pelbagai bahan untuk memproses dadah.

“Antaranya adalah cecair kloroform, asid hidroklorik serta pewarna makanan dan peralatan untuk membungkus dadah," katanya sambil menambah semua dadah yang dirampas itu boleh digunakan oleh 23,000 penagih.

Anbalagan berkata, polis percaya sindiket itu terlibat dalam pengedaran dadah di sekitar negeri ini sejak tiga bulan lepas dan usaha mengesan ahli termasuk dalang utama geng tersebut giat dijalankan.

Katanya, lelaki yang positif dadah dan mempunyai rekod lampau berkaitan dadah itu direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!