Perak benar operasi pasar malam secara berperingkat

Ahmad Faizal Azumu
Ahmad Faizal Azumu
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak membenarkan pembukaan pasar terbuka seperti pasar pagi, pasar malam, pasar tani dan bazar ria di negeri ini secara berperingkat bermula 15 Jun ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pembukaan pasar terbuka itu dibuat secara berperingkat mengikut kemampuan pihak berkuasa tempatan (PBT) setelah berbincang dengan persatuan penjaja yang menguruskan pasar-pasar terbuka ini.

Menurutnya, kerajaan negeri amat menitikberat semua prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan Persekutuan bagi pasar-pasar berkenaan.

"Kerajaan negeri menerima begitu banyak permintaan peniaga dan penjaja kecil terutama yang menjalankan perniagaan di pasar pagi dan pasar terbuka, pasar tani dan pasar malam yang terjejas akibat PKP sebelum ini.

"Pihak berkuasa negeri telah berbincang panjang tentang perkara ini kita telah mengarahkan semua PBT untuk memastikan memberikan bantuan secukupnya kepada persatuan penjaja yang menjaga pasar pagi dan malam bagi memastikan orang ramai mengikut SOP yang ketat," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Menurutnya, semua PBT bersetuju untuk membuka sebilangan lokasi pasar terbuka ini mengikut kemampuan masing-masing sebagai contoh di Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bersedia membuka sebanyak 15 pasar malam di sekitar bandar raya Ipoh.

Jelas beliau, dengan pembukaan pasar terbuka itu, kerajaan negeri berharap peniaga dan orang ramai memberikan kerjasama dengan sepenuhnya kepada pihak PBT yang akan turut mendapatkan bantuan dengan pihak lain seperti pihak polis Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan pihak berkaitan bagi memastikan SOP dipatuhi.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal berkata, kerajaan negeri juga membuat sedikit pindaan terhadap SOP yang diumumkan oleh kerajaan Persekutuan mengenai latihan sukan berpasukan.

Artikel Berkaitan:

"Saya ingin umumkan untuk latihan sukan berpasukan dan sukan tempur yang ingin diadakan mereka hendaklah membuat permohonan melalui persatuan kepada pihak PBT untuk mengadakan latihan.

"Sebagai contoh, pasukan Perak atau Perak II nak memulakan latihan walaupun dibenarkan, mereka perlu melalui Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA)," katanya.

Sementara itu, Ahmad Faizal berkata, secara umum, kerajaan negeri mengalu-alukan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi membolehkan pelbagai sektor ekonomi dibuka.

Menurutnya, kerajaan Perak akan menggunapakai semua SOP yang telah diumumkan kerajaan Persekutuan malah semua aktiviti perniagaan, rekreasi dan sosial yang belum dibenarkan oleh kerajaan Persekutuan turut terpakai di negeri ini.