Kelantan belum benar solat berjemaah terbuka

Ahmad Yakob
Ahmad Yakob
A
A
A

KOTA BHARU - Setakat hari ini Kelantan masih tidak membenarkan solat lima waktu berjemaah dilaksanakan di semua masjid mahupun surau secara terbuka meskipun bermulanya pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, sehingga kini Kelantan masih mengikut ketetapan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) berkaitan kebenaran solat termasuk mengekalkan 40 jemaah untuk solat Jumaat.

“Kita juga menunggu pengumuman daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri pada Khamis ini.

“Kebenaran solat di surau juga masih tiada apa-apa perubahan. Kita tunggu keputusan MAIK,” katanya kepada media hari ini.

Terdahulu beliau mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco Kerajaan Negeri di JKR 10 hari ini.

Bermula pada 5 Jun lalu, MAIK telah membenarkan penambahan jemaah untuk solat Jumaat daripada 12 individu kepada 40 orang mengikut prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelak penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Sebagai rekod Kerajaan Negeri Terengganu membenarkan umat Islam negeri itu menunaikan solat fardu lima waktu secara berjemaah di semua masjid dan surau bermula 12 Jun ini.

Artikel Berkaitan: