Jenazah bapa MB Negeri Sembilan selamat dikebumikan

Aminuddin (tengah) mengimamkan sendiri solat jenazah bapanya.
Aminuddin (tengah) mengimamkan sendiri solat jenazah bapanya.
A
A
A

PORT DICKSON - Jenazah bapa kepada Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun yang meninggal semalam selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sawah, Chuah pada jam 10 pagi tadi.

Allahyarham Harun Selamat berusia 106 tahun menghembuskan nafas terakhir kerana sakit tua di rumahnya di Kampung Pachitan di sini pada jam 7.45 malam.

Aminuddin mengimamkan sendiri solat jenazah bapanya yang dihadiri kira-kira 100 jemaah di pekarangan rumah bapanya.

Turut kelihatan, Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datu Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan, Rafiei Mustapha.

Sementara itu, Aminuddin ketika ditemui pemberita berkata, kehilangan Allahyarham sangat dirasai lebih-lebih lagi beliau telah kehilangan ibu sejak tahun 2007 lagi.

Aminuddin (kiri) menadah tangan ketika bacaan talqin.
Aminuddin (kiri) menadah tangan ketika bacaan talqin.

"Arwah adalah sumber inspirasi kepada saya. Arwah selalu berpesan bagaimana perlu berusaha dan jangan berputus asa kerana bukan mudah untuk dapat nikmat sesuatu melainkan dengan pengorbanan dan kesusahan.

"Arwah juga selalu mengingatkan supaya berbakti kepada tanah yang akan beri keuntungan pada masa depan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu katanya, mengikut kad pengenalan, umur Allahyarham bapanya ialah 103 tahun tetapi sebenarnya ialah 106 tahun.

Katanya, perkara itu selalu dimaklumkan Allahyarham kepada anak-anak dan ia terjadi kerana kelahirannya pada waktu dahulu lewat didaftarkan.

ARTIKEL BERKAITAN: Bapa Menteri Besar Negeri Sembilan meninggal dunia