Jakess mula operasi penuh esok

Kenyataan media Jakess hari ini.
Kenyataan media Jakess hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (Jakess) membuka perkhidmatan pemfailan dan pendengaran bagi semua kes kepada orang ramai bermula esok.

Unit komunikasi korporat Jakess dalam satu kenyataan memaklumkan, jabatan itu sebelum ini beroperasi secara berperingkat sejak 4 Mei lalu susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menurutnya, operasi itu digerakkan selaras dengan garis panduan yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Sebagai langkah kawalan dan pencegahan, semua pelanggan yang hadir di mahkamah dikehendaki memakai pelitup muka, diwajibkan melalui saringan kesihatan dengan mengimbas suhu badan di laluan masuk yang ditetapkan, imbasan QR kod yang diletakkan di pintu masuk mahkamah syariah seluruh negeri ini dengan menggunakan telefon bimbit masing-masing,

"Selain itu, mereka juga hendaklah memastikan penjarakan sosial dilaksanakan dan langkah-langkah lain yang telah ditetapkan oleh KKM," kata kenyataan itu hari ini.

Jakess berkata, hanya pelanggan yang mempunyai urusan sahaja dibenarkan masuk ke dalam premis mahkamah syariah seluruh negeri ini manakala kanak-kanak sama sekali tidak dibenarkan masuk semasa berurusan di mahkamah.

"Pelanggan yang menghadapi masalah kesihatan dinasihatkan untuk menangguhkan hasrat untuk hadir ke mahkamah sehingga benar-benar sembuh," katanya.

Menurut Jakess, operasi perkhidmatan kaunter Jakess adalah dari jam 8 pagi hingga 4.30 petang.

Artikel Berkaitan:

"Penjadualan semula prosiding kes akan dibuat bagi kes-kes yang telah didaftarkan sebelum ini.

"Pelanggan diminta menyemak status kes mereka melalui https://bit.ly/3aSJjj7 atau portal E-Syariah http://www.esyariah.gov.my," katanya.

Kenyataan itu memaklumkan, kes-kes yang tiada dalam senarai semakan, pelanggan akan dimaklumkan tarikh tangguhan baharu oleh mahkamah melalui notis tangguhan secara bertulis atau khidmat pesanan ringkas (SMS).

"Perkhidmatan membaca wakalah bagi pelantikan peguam syarie dan ikrar afidavit bagi kes-kes yang diwakili oleh peguam boleh dibuat melalui sidang video.

"Prosiding perbicaraan dan Majlis Sulh boleh dibuat melalui sidang video tetapi atas permohonan dan dengan persetujuan bertulis daripada pihak plaintif/pemohon dan dengan persetujuan bertulis daripada pihak plaintif/pemohon pihak defendan/responden bagi kes tersebut.

"Urusan pengambilan perintah bertulis bermeterai hanya boleh dibuat setelah permohonan dikemukakan melalui https://bit.ly/3aSJjj7 atau melalui laman sesawang Jakess di www.jakess.gov.my," katanya.