Percepatkan pindaan undang-undang pemandu mabuk

Ng Kian Nam (kanan) semasa menyampaikan sumbangan makanan kepada penghuni pangsapuri Rasah di sini hari ini.
Ng Kian Nam (kanan) semasa menyampaikan sumbangan makanan kepada penghuni pangsapuri Rasah di sini hari ini.
A
A
A

SEREMBAN - Kerajaan diminta untuk mempercepatkan proses pindaan Akta Pengangkutan Jalan berhubung kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol.

Ketua Biro Kempen Masyarakat Sivil MCA Kebangsaan, Ng Kian Nam berkata, pihaknya menyokong penuh usaha Kementerian Pengangkutan Malaysia di bawah pimpinan Datuk Seri Wee Ka siong yang akan meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 dengan undang-undang lebih berat.

Tambahnya, hukuman sedia ada sekarang ini adalah sangat ringan malah pemandu terlibat boleh membayar denda yang dikenakan dengan mudah.

"Kali terakhir undang-undang tersebut dipinda pada 15 tahun lalu dan sudah sampai masa ia dilihat dan dikaji semula bagi menyesuaikannya dengan keadaan semasa.

"Kita minta supaya undang-undang ini diperketatkan lagi, supaya pemandu mabuk boleh dikenakan tindakan denda atau penjara yang lebih berat sehingga mereka sendiri berfikir tidak mahu memandu dalam keadaan dipengaruhi alkohol,"katanya ketika ditemui selepas program menyampaikan sumbangan nasi vegetarian kepada 180 penghuni di pangsapuri Rasah dekat sini hari ini.

Antara penyumbang program makanan vegetarian di pangsapuri Rasah.
Antara penyumbang program makanan vegetarian di pangsapuri Rasah.

Hadir sama, Ketua Penerangan MCA Bahagian Rasah, Dafney Ho.

Dalam pada itu, beliau yang juga merupakan Jurucakap Kempen Mempertahankan Hak Asasi E Hailing Malaysia memberitahu, pihaknya akan menganjurkan kempen kesedaran jangan memandu selepas minum alkohol, kepada semua pemandu e hailing di negara ini.

Artikel Berkaitan:

Katanya, cadangan mengenai penganjuran kempen tersebut telah diberikan kepada Kementerian Pengangkutan Malaysia dan pihaknya akan menjalinkan kerjasama dengan NGO e hailing untuk menjayakan kempen itu.

Ketika ini, individu yang didapati memandu dalam pengaruh alkohol akan didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dalam keadaan berbahaya, memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun serta denda tidak lebih RM20,000.