Bukan pasir tapi sisa bahan kimia

Md Zaki (kanan) bersama penduduk kampung menunjukkan longgokan sisa bahan kimia yang dibuang oleh pihak industri berhampiran dengan rumah penduduk.
A
A

CHEMOR - Penduduk Rancangan Penempatan Tersusun (RPT) Batu 10, Ulu Chepor resah dengan timbunan pasir putih dipercayai dibuang pihak industri di lombong berhampiran rumah mereka.

Aktiviti yang dikesan sejak beberapa bulan lalu itu menyebabkan penduduk terpaksa berkurung di dalam rumah apabila pasir putih terbabit menyebabkan persekitaran kediaman mereka berhabuk hingga menjejaskan kesihatan.

Lebih membimbangkan, timbunan yang disangka pasir itu dipercayai bahan kimia berjadual sisa produk kalsium karbonat yang dihasilkan dari sebuah kilang berhampiran.

Penduduk, Mohd Hadi Mohamed, 62, berkata, tindakan melonggokkan sisa industri itu berhampiran rumahnya menyebabkan isterinya, Jilah Alang, 58, terpaksa berulang alik ke klinik.

“Setelah pulang dari mengerjakan haji isteri saya sering sesak nafas. Saya fikir mungkin disebabkan perubahan cuaca di sana tetapi bukan, ia kerana habuk itu dari longgokan yang terletak kira-kira 50 meter dari rumah kami.

“Dia tidak mempunyai penyakit itu sebelum ini. Sejak longgokan itu terlalu hampir dengan rumah, kami tidak lagi berani buka tingkap dan isteri selalu tak sihat,” katanya.

Menurutnya, dia tidak menolak sebarang pembangunan di kawasan itu tetapi ia perlu dilakukan mengikut prosedur yang betul.

“Ini bukan tanah tetapi bahan kimia walaupun sudah habis toksiknya tapi sisa yang dibuang itu sangat mencurigakan. Boleh percaya ke ia tidak memberi kesan kepada kami yang duduk di sini?

“Bahan toksik mengambil masa untuk dilupuskan. Jangan buat kami begini. Boleh tambak tapi dengan batu dan tanah merah, jangan hantar lagi bahan itu ke sini lagi,” katanya.

Kerja-kerja menambak lombong dengan menggunakan sisa bahan kimia di RPT Batu 10, Ulu Chepor perlu dihentikan segera.
Kerja-kerja menambak lombong dengan menggunakan sisa bahan kimia di RPT Batu 10, Ulu Chepor perlu dihentikan segera.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Ulu Chepor, Md Zuki Abd Rahman berkata, dianggarkan 200 rumah akan terjejas apabila penambakan itu boleh menyebabkan banjir kilat.

“Lombong ini dijadikan kawasan tadahan air ketika musim hujan sebelum disalurkan ke sungai berhampiran. Tetapi mereka longgokkan sesuka hati, saluran air yang tersekat boleh menyebabkan banjir.

“Berdasarkan aduan dan pemerhatian, kita memaklumkan kepada semua jabatan yang terlibat termasuk Adun Manjoi, Asmuni Awi untuk melihat keadaan ini bagi mengelakkan perkara lebih teruk berlaku,” katanya.

Menurutnya, pihak terbabit perlu hentikan segera operasi menghantar sisa buangan itu ke kawasan berhampiran penempatan penduduk itu.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Alam Sekitar Perak, Norazizi Adinan berkata, pihaknya sudah mula menjalankan siasatan selepas menerima aduan minggu lepas.

“Pegawai penyiasat sedang menjalankan siasat berkaitan bahan kimia tersebut, pemilik tanah dan pihak yang memberi kebenaran akan perkara itu,” katanya.