PRK Chini: Najib yakin Muafakat Nasional raih undi 95 peratus

Najib Tun Razak
Najib Tun Razak
A
A
A

KUANTAN - Kerjasama UMNO dan Pas menerusi Muafakat Nasional diyakini mampu meraih lebih 95 peratus undi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, Pekan, Julai depan.

Ketua UMNO Bahagian Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, jangkaan itu dibuat selepas pengundi kedua-dua parti tersebut memberi sokongan penuh kepada calon Barisan Nasional (BN) pada PRK DUN Chini.

Bagaimanapun, katanya, beliau mahu menang dengan majoriti tambahan susulan BN adalah sebahagian besar daripada parti pemerintah.

"Berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), jika kita cantumkan undi BN masa itu dan undi Pas sudah menghampiri 95 peratus. Calon PKR cuma dapat dalam lingkungan lima peratus (undi).

"Sekiranya setiap pengundi yang mengundi calon UMNO dan Pas betul-betul komited pada Muafakat Nasional, ia bererti bahawa kita telah mencapai 95 peratus. Itu atas kertas, tapi realitinya kita akan cuba menghampiri sasaran tersebut," katanya ketika sesi wawancara secara langsung bersama Media Pahang di sini hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pekan berkata, bagaimanapun, keputusan akhir akan ditentukan oleh beberapa faktor-faktor termasuklah pengundi luar.

Jelasnya, kemungkinan pengundi luar yang balik mengundi pada PRU14 sekali lagi akan kembali pada PRK yang akan berlangsung pada 4 Julai.

"Ini semua jangkaan yang kita kena lihat.. mungkin ada yang tidak pulang disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) atau sebagainya. Jadi, ini kita anggap faktor yang pasti mempengaruhi sifat pengundi.

Artikel Berkaitan:

"Namun, kita pasti BN akan terus kekal di Chini kerana kemarahan rakyat kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) masih belum reda kerana menipu warga Felda yang kononnya mahu memansuhkan hutang peneroka," katanya.

Ditanya mengenai profil pengundi, Najib berkata, peneroka Felda generasi pertama dan kedua terdiri daripada kumpulan terbesar pada 82 peratus manakala golongan belia di bawah umur 40 tahun merangkumi 56 peratus.

Katanya, terdapat juga penduduk kampung tradisional dan penduduk orang asli tempatan.

"Bilangan pengundi muda ini perlu diberi perhatian dengan memahami citarasa mereka bagi meraih sokongan," katanya.