20 tahun penjara untuk pemabuk

Gambar hiasan -Foto 123rf
Gambar hiasan -Foto 123rf
A
A
A

PENINGKATAN kes pemandu mabuk sehingga menyebabkan kematian semakin membimbangkan. Perkara itu semakin serius dan tindakan dan penguatkuasaan secara berkala amat perlu dilaksanakan segera.

Menurut statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) sepanjang lima bulan pertama tahun ini sahaja sebanyak 21 kes membabitkan pemandu mabuk dicatatkan yang mana lapan mangsa meninggal dunia.

Perkara itu sangat membimbangkan kerana jumlah yang direkodkan dalam tempoh lima bulan tahun ini menghampiri keseluruhan 23 kes yang dicatatkan sepanjang tahun lalu.

Persoalan yang perlu dititik beratkan adalah kemalangan bukan sahaja kehilangan nyawa atau menjadi cacat, tetapi juga waris, terutamanya anak yang ditinggalkan menjadi mangsa kehilangan orang tersayang. Hilang mata pencarian. Tiada tempat untuk bergantung harap. Bagaimana dan siapa pula yang akan membela waris mangsa itu?

Dalam keadaan negara dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tidak sepatutnya kes pemandu mabuk menjadi serius. Hukuman penjara mandatori perlu diambil kira dalam pindaan undang-undang terhadap kesalahan memandu dalam keadaan mabuk, bagi menangani perbuatan berkenaan berulang dan menjadi trend pada masa depan.

Walaupun pelbagai perbincangan dan seminar mengkaji isu berkenaan namun sehingga kini baru ramai yang menganggap krisis itu semakin kritikal.

Kenapa sekian lama perkara yang sama berulang, masih tidak mempunyai akta atau undang-undang yang keras bagi membenteras pemandu mabuk? Ia bukan sekadar mengharam atau memberhentikan kontrak atau permit baharu penjualan arak, tetapi lebih kepada hukuman mandatori yang lebih keras.

Kementerian Pengangkutan perlu segera merangka pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) supaya hukuman lebih berat dikenakan terhadap individu yang disabitkan dengan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah.

Artikel Berkaitan:

Antara cadangan yang dinyatakan ialah meminda peruntukan bagi kesalahan memandu secara berbahaya iaitu Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. Mengikut cadangan, hukuman bagi pesalah terbabit akan ditingkatkan sebanyak lima kali ganda, denda sehingga RM100,000 dan penjara maksimum 20 tahun.

Buat masa kini, peruntukan undang-undang pemandu mabuk yang cuai terpulang kepada hakim untuk meletakkan hukuman dan bergantung kepada interpretasi mereka.

Hukuman penjara menjadi langkah pencegahan yang lebih ampuh terhadap individu yang fikir mereka boleh minum minuman keras sesuka hati dan membahayakan orang lain.Hukuman

Sebagai perbandingan, di Singapura seseorang akan didapati bersalah kerana memandu di bawah seksyen 67 Akta Lalu Lintas Jalan Raya (RTA). Seseorang pemandu tidak layak untuk memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga tidak dapat mengawal kenderaan dengan betul atau melebihi had alkohol yang sah.

Had alkohol yang sah di Singapura adalah 35 mikrogram alkohol dalam 100 mililiter nafas, atau 80 miligram alkohol dalam 100 mililiter darah. Pegawai polis boleh meminta pemandu memberikan spesimen nafas untuk ujian nafas awal. Sekiranya seseorang pemandu enggan mematuhi, anda boleh ditangkap tanpa waran.

Sekiranya seseorang disabitkan dengan kesalahan memandu di negara berkenaan, boleh dikenakan denda antara $2,000 hingga $10,000 dan / atau penjara sehingga satu tahun untuk kesalahan kali pertama. Pesalah yang berulang kali dikenakan denda antara $5,000 hingga $20,000 dan penjara sehingga dua tahun.

Pesalah juga akan hilang kelayakan untuk memegang atau mendapatkan lesen memandu sekurang-kurangnya dua tahun (atau sekurang-kurangnya lima tahun untuk pesalah berulang). Ini melainkan jika mahkamah mempunyai alasan khusus untuk memerintahkan tempoh diskualifikasi yang lebih pendek (atau tidak ada pembatalan kelayakan sama sekali). Tempoh pembatalan juga mungkin lebih lama jika pesalah juga telah disabitkan dengan kesalahan memandu atau memandu secara cuai.

Pelaksanaan pindaan undang-undang berkenaan amat perlu disegerakan di negara ini bagi memastikan individu yang melakukan kesalahan itu dijatuhkan hukuman lebih berat dan setimpal pada masa akan datang.

* Profesor Datuk Dr Ismail Sualman ialah Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi MARA