Peringatan buat mereka yang ditahan

Gambar hiasan -Foto 123rf
Gambar hiasan -Foto 123rf
A
A
A

TELAH dilaporkan bahawa pegawai ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, telah membuat sidang media di mana beliau mendakwa dikasari pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika disoal siasat.

Siti Nurul Hidayah, berkata pegawai SPRM mengeluarkan kata-kata kesat selain mengugut untuk menampar mukanya. Siti juga berkata pegawai SPRM memintanya berdiri sambil mengangkat sebelah kaki dan kedua-dua tangannya selama 30 minit.

Dakwaan ini sudah tentu mendapat perhatian ramai. Selepas imej SPRM mengalami proses pemulihan semasa zaman pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan, apa yang didakwa berlaku kepada Siti Nurul Hidayah amat membimbangkan. Ramai yang membayangkan bahawa ‘hari-hari gelap’ sebelum ini, di mana aparatus daulah disalahgunakan untuk tujuan politik.

Penulis tidak mahu mengulas panjang tentang apa yang didakwa berlaku. Pihak SPRM sendiri telah menafikan sekeras-kerasnya apa yang berlaku, namun perkara ini wajar disiasat oleh pihak berkuasa.

Pada masa sama, di media sosial perkara ini sedang hangat diperbincangkan. Ramai yang ingin tahu apakah hak mereka apabila ditahan oleh pihak berkuasa, atau dipanggil untuk membantu siasatan.

Apa yang penting di sini adalah untuk membezakan di antara seorang suspek dengan seorang saksi yang membantu siasatan. Kedua-duanya akan diminta untuk memberi keterangan, tetapi cara mereka diminta untuk berbuat demikian berbeza.

Keterangan

Bagi seorang saksi, selalunya penguasa akan menghubungi dan meminta untuk datang memberi keterangan. Selalunya, notis akan dikeluarkan mengikut peruntukkan undang-undang, dan orang yang diminta hadir harus menghadirkan diri. Kegagalan berbuat demikian boleh mengundang tindakan selanjutnya.

Artikel Berkaitan:

Untuk suspek pula, mereka biasanya akan ditahan untuk membantu siasatan. Mereka kemudian akan direman dan semasa dalam tahanan mereka akan disoal siasat dan diberi keterangan.

Penulis harus tekankan di sini bahawa sekiranya seseorang itu dihalang daripada bergerak bebas, diarah untuk pergi ke balai atau dikurung dalam sebuah bilik, ini semua menjurus kepada suatu penahanan. Walaupun sekiranya penguasa itu menafikan bahawa anda ditahan, tetapi jika kebebasan anda disekat anda secara natijahnya telah ditangkap. Seseorang yang merasakan dirinya ditahan wajar bertanya kepada penguasa sama ada dia ditahan.

Seseorang yang ditahan mempunyai hak-hak yang termaktub. Antaranya, orang yang ditahan tersebut mempunyai hak untuk dimaklumkan apa alasan dia ditahan. Penguasa yang membuat tahanan mesti memaklumkan kepada orang yang ditahan kenapa dia ditahan.

Satu lagi hak yang penting buat orang yang ditahan adalah hak untuk berunding dengan peguam. Hak ini adalah hak yang dijamin dalam Perlembagaan, dan tidak boleh dinafikan oleh penguasa.

Jangan salah faham; kita semua mahu membasmi jenayah di dalam negara. Kita harus memberi sokongan kepada pihak berkuasa, tidak kiralah pihak polis, SPRM atau mana-mana badan lain, yang rata-rata menjalankan tanggungjawab mereka dengan betul dan amanah.

Tetapi pada masa sama, kita mahu mereka yang diberi kuasa, menggunakan kuasa mereka dalam kerangka yang dibenarkan. Yang segelintir yang salahguna kuasa, harus dibawa ke muka pengadilan.