Brazil cuba sorok data bulanan Covid-19

Data baharu itu didakwa tidak lagi memberikan total kes jangkitan Covid-19 atau kematian disahkan. - Foto Agensi
Data baharu itu didakwa tidak lagi memberikan total kes jangkitan Covid-19 atau kematian disahkan. - Foto Agensi
A
A
A

BRASILIA - Kerajaan Brazil semalam didakwa menyembunyikan data bulanan koronavirus (Covid-19) yang direkodkan selepas Presiden Jair Bolsonaro mempertahankan kelewatan dan perubahan rekod di negara itu yang kini menjadi negara kedua tertinggi mencatatkan kes jangkitan pandemik tersebut.

Kementerian Kesihatan dilaporkan mengeluarkan data tersebut dari laman web yang mendokumenkan perkembangan kes itu berdasarkan negeri dan majlis perbandaran.

Selain itu, kementerian terbabit juga tidak lagi memberikan total kes jangkitan atau kematian disahkan yang sudah melepasi Itali pada minggu lalu dan hampir 36,000 kes kematian menjelang semalam.

“Data kumulatif tidak menggambarkan keadaan sebenar sesebuah negara. Langkah lain untuk meningkatkan pelaporan kes dan pengesahan kes sedang dilakukan,” kata Bolsonaro menerusi akaun Twitter.

Bagaimanapun, beliau tidak memberikan sebab utama pemerintah memadamkan data pada laman covid.saude.gov.br yang menjadi sumber utama orang ramai untuk mengikuti perkembangan kes jangkitan di negara terbabit.

Difahamkan, laman tersebut dipadamkan kelmarin dan dimuat naik semula dengan susun atur baharu dengan sebahagian kecil data yang memaparkan kes kematian dan pesakit pulih dalam tempoh 24 jam.

Lewat semalam, Kementerian Kesihatan melaporkan 27,075 kes baharu dan 904 kematian sejak dikemas kini sehari sebelum itu.

Pemimpin tersebut senada dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang memandang rendah terhadap ancaman virus itu malah beliau turut menggantikan pakar perubatan di Kementerian Kesihatan dengan pegawai tentera selain mempertikaikan langkah perintah berkurung. - Agensi

Artikel Berkaitan: