Tun M-Anwar gandingan yang gagal

No Image Caption
A
A
A

WAJARKAH Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim didesak untuk berganding bahu sekali lagi dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad?

Inilah soalan yang sering dibangkitkan apabila berbincang tentang kemelut politik negara sejak empat bulan lalu.

Ramai yang berpendapat gandingan mereka berdua dapat merampas kembali mandat rakyat yang tercapai pada 9 Mei 2018 apabila kerajaan Barisan Nasional (BN) tewas kali pertama dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Namun, percaturan politik untuk mencapai impian politik beberapa individu mengakibatkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Dr Mahathir tumpas pada 24 Februari tahun ini apabila 26 ahli Parlimen Bersatu dan 11 ahli Parlimen PKR bertindak keluar parti.

Walaupun Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang membawa keluar 11 ahli Parlimen PKR dipertangunggjawabkan sebagai dalang yang menjatuhkan kerajaan PH, Dr Mahathir juga harus memikul beban sebagai pencetus krisis politik atas tindakannya meletak jawatan sebagai Perdana Menteri, serta ketidaksudian beliau untuk membenarkan Anwar mengambil alih pucuk pimpinan negara seperti yang dipersetujui semua parti komponen PH.

Namun, ketidakikhlasan yang dipaparkan Dr Mahathir tidak menahan penyokong Anwar daripada memujuk beliau untuk memberi Dr Mahathir peluang terakhir.

DAP dan Amanah khususnya masih membayangkan formula Dr Mahathir-Anwar merupakan gandingan terkuat untuk menumpaskan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin.

Walaupun Anwar masih belum bersuara sama ada untuk menyahut atau menyangkal cadangan rakan-rakannya seperti Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu, gerak-geri beliau boleh memberi sedikit intipati terhadap pendirian beliau dalam isu bekerjasama dengan Dr Mahathir.

Artikel Berkaitan:

Pertama, Anwar masih berdiam diri dalam memberi pendapat berkenaan kesudian beliau untuk bekerjasama semula dengan Dr Mahathir. Kedua, ketidakhadiran beliau dalam dua mesyuarat Pimpinan Tertinggi PH pada 18 Mei dan 4 Jun menimbulkan tanda tanya sehingga Dr Mahathir sendiri menyatakan yang beliau tidak ada apa-apa masalah dengan Anwar.

(Kita imbas kembali tahun 1998 bila Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri sebelum Anwar dilucutkan daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri. Dialog sama dituturkan Dr Mahathir: “Saya tidak ada masalah dengan Anwar”; “Anwar akan mengambil alih sebagai Perdana Menteri.”)

Namun orang dalaman PKR menjelaskan yang Anwar telah meminta mesyuarat pada 4 Jun ditunda sebab beliau tidak dapat hadir dan oleh sebab ia mesyuarat pimpinan tertinggi sesiapapun tidak dibenarkan menghantar wakil.

Pendapat penulis ialah gabungan Dr Mahathir-Anwar sudah terbukti gagal.

Kalau gandingan rapuh ini tidak berjaya pada tahun 1998 dan sekali lagi pada tahun 2020, apakah jaminan bahawa ia akan berjaya pada cubaan ketiga?

Sebagai seorang pemimpin yang sudah uzur pada umur 95 tahun, adalah tidak masuk akal yang ramai masih menganggap Dr Mahathir boleh menerajui satu lagi serangan untuk merampas kembali pucuk pimpinan negara.

Kerajaan PN pula sedang menerima pujian atas langkah-langkah menangani krisis kesihatan yang melanda seminggu selepas Muhyiddin menerajui pucuk pimpinan negara.

Jika krisis ekonomi ekoran Covid-19 ini berjaya dikendalikan dengan berkesan oleh pentadbiran Muhyiddin, kerajaan PN akan menerima sokongan rakyat yang akan merumitkan lagi PH untuk kembali berkuasa.

Namun begitu, menangani rasuah, menjamin kebebasan bersuara, mengeratkan jarak sosioekonomi antara rakyat berbilang kaum serta pentadbiran negara bermasyarakat majmuk yang lebih adil merupakan tumpuan PH daripada PN.

Penulis berpendapat inilah masanya untuk Dr Mahathir mengundurkan diri daripada politik negara.

Anwar pula, kalau berserah kepada suara-suara Amanah dan DAP untuk bekerjasama sekali lagi dengan bekas bos beliau yang sudah dua kali mempermainkannya, ramai akan menyoal penaakulannya sebagai calon Perdana Menteri. Dr Mahathir tidak akan bertukar jalur atau bintiknya – tidak pada usia 95 tahun, pada ambang senja riwayatnya.

Kalau gandingan rapuh ini tidak berjaya pada tahun 1998 dan sekali lagi pada tahun 2020, apakah jaminan yang ia akan berjaya pada cubaan ketiga?”

* Terence Fernandez ialah seorang bekas pengarang beberapa akhbar bahasa Inggeris. Beliau kini konsultan komunikasi