X

Kindly register in order to view this article
!

PKPP ganti PKPB mulai Rabu ini

Muhyiddin
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) akan menggantikan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai 10 Jun sehingga 31 Ogos ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan demikian dalam perutusan khas sebentar tadi.

Menurut Muhyiddin, dalam tempoh PKPP dilaksanakan, lebih banyak kelonggaran akan diberikan untuk menjalani aktiviti kehidupan seharian di samping mematuhi prosedur opearasi standard (SOP) secara berterusan.

“Mulai 10 Jun 2020, perjalanan rentas negeri akan dibenarkan kecuali di kawasan yang diisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan atau PKPD.

“Justeru bagi mereka yang ingin menziarahi ibu-bapa yang tinggal berjauhan di negeri lain bolehlah berbuat demikian namun dinasihatkan agar sentiasa jaga kebersihan diri, pakai pelitup muka apabila berada di tempat awam dan elakkan tempat yang sesak semasa pulang ke kampung,” katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa melindungi ahli keluarga terutamanya mereka yang mempunyai ibu bapa dalam kategori warga emas kerana berisiko tinggi dijangkiti.

Katanya, walaupun timbul perasaan seronok kerana dapat menziarahi orang tua, namun beliau mengingatkan bahawa tanggungjawab utama ialah masing-masing perlu melindungi diri daripada terkena jangkitan.

“Sepanjang tempoh PKPP ini juga, hampir semua aktiviti sosial, pendidikan, keagamaan, perniagaan, sektor ekonomi dan sebagainya akan beroperasi semula secara berperingkat dengan pematuhan sepenuhnya kepada SOP.

“Malah perkhidmatan gunting rambut dan salun, pasar terbuka, pasar pagi, pasar malam, pasar tamu, bazaria, medan selera, pusat penjaja, 'food truck' dan gerai makan juga akan dibenarkan,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, aktiviti komersial yang melibatkan urus niaga jualan dan pemasaran bukan dalam premis perniagaan juga dibenarkan.

Selain itu, katanya, lawatan ke muzium, 'indoor busking', dobi layan diri, aktiviti perikanan rekreasi termasuk kolam pancing komersial dan penggambaran filem turut termasuk dalam senarai yang dibenarkan.

“Mesyuarat dan bengkel juga dibenarkan dengan syarat mematuhi sepenuhnya protokol kesihatan dan mengoptimumkan ruang.

“Bagi kategori sukan, beberapa jenis sukan dan rekreasi akan dibuka semula dengan pematuhan kepada SOP termasuklah latihan persediaan pasukan permainan sukan, aktiviti sukan yang tidak melibatkan sentuhan badan seperti boling, badminton, memanah, menembak dan lain-lain,” katanya.

Muhyiddin berkata, aktiviti berkumpulan di luar seperti kayuhan basikal dan konvoi motosikal juga dibenarkan, namun pertandingan sukan atau permainan yang melibatkan perhimpunan penyokong atau penonton yang ramai seperti di stadium, sukan renang dan kolam renang awam serta sukan bersentuhan seperti ragbi, gusti, tinju, bola sepak, bola keranjang dan hoki masih tidak dibenarkan.

Katanya, tiada lagi sekatan rentas negeri dan aktiviti pelancongan domestik akan dibenarkan selaras dengan fasa penjanaan semula ekonomi negara namun perlu mengamalkan kebiasaan baharu atau 'new normal' dan sempadan negara masih lagi ditutup untuk ke luar negara.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus