Pemancing dikhuatiri lemas

Wan Lokman (tengah) yang turut berada di lokasi yang menjadi kebiasaan abangnya memancing.
Wan Lokman (tengah) yang turut berada di lokasi yang menjadi kebiasaan abangnya memancing.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang pemancing dikhuatiri lemas di sungai Kampung Kampung Padang Sakar, Salor di sini.

Kehilangan Wan Hafizan Wan Hussein, 42, disedari keluarganya selepas dia tidak pulang ke rumah sejak keluar pada jam 10 malam kelmarin.

Adiknya, Wan Lokman, 28, berkata, dia dan ahli keluarga yang lain cuba mencari anak kedua daripada lapan beradik itu pada tengah hari semalam namun gagal menemuinya.

Katanya, lokasi di tepi sungai itu menjadi lokasi rutin bagi Wan Hafizan memancing udang dan akan pulang selepas beberapa jam mendapat hasil.

“Jumaat malam itu dia keluar lepas Isyak tetapi tidak pulang sehingga hari ini. Kami mencarinya di kawasan tepi sungai dan hanya menjumpai barangan memancing milik dia di atas sebuah bot penduduk yang diikat di tepi sungai itu.

“Motosikal jenis Yahama LC miliknya pula ditemui diletakkan di tebing sungai namun dia pula tidak kelihatan,” katanya.

Wan Lokman
Wan Lokman

Katanya, kebiasaannya bapa dua anak itu akan pulang selepas memancing kerana dia perlu menghantar isterinya, Masnita Mustapa keluar bekerja pada setiap pagi.

Artikel Berkaitan:

“Paling lama dia keluar memancing pun pada pagi hari dia akan balik untuk hantar isterinya bekerja di sebuah pasar raya di Lembah Sireh.

“Pelik kali ini kerana dia tidak memberitahu apa-apa malah tidak menunjukkan sesuatu yang aneh sebelum disedari hilang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tunjong, Pegawai Bomba Kanan 1, Zainalfitri Husin berkata, operasi pencarian dimulakan sejak malam tadi.

“Pencarian dilakukan menggunakan bot di permukaan sungai bermula di lokasi mangsa memancing di sungai kampung itu sehingga ke kawasan Kuala Besar.

“Operasi itu turut disertai enam anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu yang melakukan selaman sejauh 100 meter dari lokasi mangsa dipercayai hilang,” katanya.