X

Kindly register in order to view this article
!

Dua lelaki Bangladesh ditahan keluar dokumen ujian Covid-19 palsu

A
A

KUALA LUMPUR - Dua lelaki Bangladesh yang disyaki menjalankan aktiviti penipuan dengan cara mengeluarkan dokumen keputusan ujian saringan Covid-19 yang negatif bagi warganegara asing ditahan dalam dua serbuan di Jalan Alor di sini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, kedua-dua suspek yang merupakan penjaga kaunter, ditahan dalam serbuan kira-kira jam 5.40 petang semalam.

“Kaunter yang beroperasi di kaki lima kedai di Jalan Alor, telah beroperasi selama satu hingga dua minggu, dengan setiap dokumen keputusan ujian saringan Covid-19 dikenakan bayaran RM50.

“Pihak polis mendapati kadar sewaan tapak adalah RM600 sebulan dan beroperasi setiap hari bermula jam 12 tengah hari sehingga 9 malam, di mana seorang penjaga akan ditempatkan di kaunter untuk mengendalikan sebuah komputer riba, ketika berurusan dengan pelanggan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, sasaran pelanggan dipercayai terdiri daripada warganegara asing dan kedua suspek bekerja dengan anggaran gaji RM1,500 dan RM1,700 sebulan.

Antara bahan bukti yang dirampas dalam serbuan berkenaan termasuk beberapa unit komputer riba, mesin pencetak, mesin laminator, beberapa helai kertas keputusan ujian saringan Covid-19 palsu dan wang tunai berjumlah RM1,331.

“Susulan itu, suspek dan rampasan dibawa ke IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah) Dang Wangi untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 22 (d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, Seksyen 468 Kanun Keseksaan serta Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen,” jelasnya.

Mazlan berkata, pihaknya memandang serius isu pemalsuan dokumen keputusan ujian saringan Covid-19 ini dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang menyalahi undang-undang.

“Sikap tidak bertanggungjawab dan hanya mengutamakan keuntungan sebegini hanyalah membahayakan orang ramai dan menjejaskan usaha kerajaan untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menyalurkannya dengan menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau menghubungi mana-mana balai polis berdekatan. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus