X

Kindly register in order to view this article
!

Jawatankuasa teknikal memperkasa industri nasyid: Zulkifli

Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
- Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR- Satu jawatankuasa teknikal akan ditubuhkan bagi merangka pelan pembangunan semula industri nasyid dalam usaha memperkasa industri berkenaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata, jawatankuasa itu akan melibatkan kerjasama TV Alhijrah, Institut Kefahaman Islam Malaysia, Nasyeed.com dan badan bukan kerajaan, Creative Dakwah Club.

“Tiga minggu lagi saya akan meneliti kertas cadangan daripada mereka berhubung hal ini. Saya mahu anugerah berprestij seperti Anugerah Nasyid kembali diadakan.

“Saya tidak ada apa-apa kepentingan. Saya cuma nampak potensi yang amat besar pada mereka bagi turut sama menyumbang kepada dakwah, pendidikan dan keseimbangan psikospiritual masyarakat terutamanya dalam normal baharu yang sedang kita tempuhi bersama.

“Selagi saya masih berkhidmat, saya akan usahakan sehabis baik untuk industri nasyid tanah air,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, awal hari ini beliau mengadakan perbincangan dengan Ketua Pegawai Eksekutif Nasyeed.com Ahmad Zuwairy Che Ramly, Presiden Majlis Usahawan Nasyid Malaysia Muhammad Razin Che Mud dan wakil daripada Daqmie dan TV Alhijrah berkenaan pelbagai isu artis nasyid.

Pada pertemuan itu beliau turut menyampaikan sumbangan kepada Nasyeed.com untuk disalurkan kepada artis nasyid yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menurut Zulkifli, mereka yang hilang mata pencarian kerana bergantung sepenuh masa pada bidang hiburan juga akan dilantik sebagai bilal rawatib bagi masjid dan surau di Wilayah Persekutuan.

“Pelbagai isu kebajikan artis nasyid dikongsikan untuk perhatian pihak kerajaan. Di sebalik gelak tawa, terselit tangisan dan genangan air mata yang amat saya fahami, menanggung seribu satu beban keperitan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dan PKPB ini,” katanya.- Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus