26 dikompaun ingkar SOP PKPB

Antara remaja yang dikompaun kerana melanggar SOP dengan berkumpul dan meminum minuman keras.
Antara remaja yang dikompaun kerana melanggar SOP dengan berkumpul dan meminum minuman keras.
A
A
A

BUTTERWORTH - Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) mengeluarkan 26 kompaun kepada mereka yang masih berdegil dan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Kesemua kompaun itu dikeluarkan dalam operasi pemantauan pematuhan PKPB yang dijalankan sejak semalam sehingga tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, kesemua yang dikompaun merupakan 23 lelaki dan tiga wanita berusia lingkungan 19 hingga 43 tahun.

Menurutnya, dari jumlah tersebut, empat lelaki dan seorang wanita dikompaun kerana didapati berkumpul sambil meminum minuman keras di sebuah restoran di Mak Mandin di sini.

"Ketika penugasan pemantauan pematuhan PKPB pada jam 12.15 tengah malam tadi, pasukan kita menerima maklumat mengatakan ada sekumpulan individu sedang berkumpul sambil meminum arak.

"Setelah tiba di lokasi, kita mendapati memang benar mereka sedang minum arak di situ. Sehubungan itu, kita mengeluarkan kompaun terhadap mereka kerana tidak mematuhi SOP yang ditetapkan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian tadi.

Seramai 26 individu dikompaun kerana melanggar SOP PKPB sejak semalam hingga malam tadi.
Seramai 26 individu dikompaun kerana melanggar SOP PKPB sejak semalam hingga malam tadi.

Noorzainy berkata, pihaknya turut mengeluarkan kompaun kepada lima remaja kerana didapati sedang berkumpul dan meminum minuman keras di Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth pada jam 1 pagi tadi.

Artikel Berkaitan:

"Kesemua remaja tersebut didapati melepak dan meminum arak bersama di lokasi yang berdekatan dengan laut. Selain mereka, kita turut mengeluarkan kompaun kepada 12 individu lagi kerana berkumpul dan melepak di beberapa lokasi.

"Empat individu turut dikompaun semalam kerana cuba merentas negeri. Mereka dikesan cuba melakukan kesalahan itu di sekatan jalan raya di Pinang Tunggal dan sebuah stesen minyak di Butterworth. Kesemua yang didapati melanggar SOP dikompaun RM1,000 setiap seorang," katanya.

Beliau berkata, 26 individu tersebut didapati melakukan kesalahan mengikut Peraturan 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di dalam Kawasan Tempatan Berjangkit) 2020.

Katanya, pihaknya mengeluarkan 548 kompaun sejak PKPB dilaksanakan sehingga malam tadi.