Pemandu mabuk: Pemuda Pas kemuka cadangan holistik

Laporan yang pernah disiar Sinar Harian membabitkan pemandu mabuk hingga menyebabkan kematian orang lain.
Laporan yang pernah disiar Sinar Harian membabitkan pemandu mabuk hingga menyebabkan kematian orang lain.
A
A
A

ALHAMDULILLAH, semalam Dewan Pemuda Pas Malaysia - DPPM mengadakan pertemuan bersama Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong di pejabat beliau di Putrajaya.

Pertemuan itu adalah kunjungan hormat Pemuda Pas sekali gus menyerahkan Kertas Cadangan Penyelesaian Holistik isu Pemandu Mabuk dan disambut baik YB Menteri.

Pemuda Pas juga menyerahkan Kertas Cadangan Pembangunan Polisi Penyalahgunaan Alkohol Kebangsaan.

Selain itu, Kertas Cadangan Pelan Tindakan Holistik Kementerian Pengangkutan dalam Membanteras Kesan Penyalahgunaan Alkohol di Jalan Raya juga diserah untuk pertimbangan kementerian.

Rombongan Pemuda Pas diketuai saya; Timbalan, Pemuda Ustaz Ahmad Fadhli Shaari, Naib, Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamudden: Bendahari, Ustaz Roslan Md Esa; Ketua Sektor Pendidikan, Muhtar Suhaili As-Sarawaki; Ketua Pengarah Institut Polisi Studi (IPS), Profesor Ir Dr Hairul Azhar Abdul-Rashid dan Ketua Pengarah Perbendaharaan, Ustaz Kamal Ashaari Al-Kerdawi seain Ketua Pemuda MCA, Nicole Wong.

Penggunaan alkohol, walaupun sejak sekian lama menjadi sebahagian kecil daripada struktur sosial dan budaya masyarakat kita, telah membebankan sistem kesihatan, sosial dan ekonomi negara.

Kecederaan dan kematian yang disebabkan penyalahgunaan alkohol berkait dengan kemalangan jalan raya tidak dapat dinafikan.

Dewan Pemuda Pas mencadangkan beberapa pelan tindakan yang sejajar dengan Polisi Penyalahgunaan Alkohol Kebangsaan (PPAK) yang juga kami cadangkan.

Artikel Berkaitan:

Cadangan pelan tindakan ini berkait dengan program kesedaran, pemindaan peruntukan undang-undang, cukai jalan, insurans kenderaan, kesediaan pengangkutan awam, penggunaan teknologi dan data raya.

Pelaksanaan baik pelan tindakan ini memberi kita peluang untuk membendung bahaya penyalahgunaan alkohol khususnya di jalan raya.

Berkaitan dengan isu #PemanduMabuk ini, YB Menteri Pengangkutan turut memaklumkan beliau sebagaimana kita semua setuju agar peraturan sedia ada perlu segera dipinda untuk hukuman lebih berat ke atas pemandu mabuk. Ini sangat penting demi keadilan kepada mangsa dan kesejahteraan rakyat Malaysia seluruhnya.

Sebagai menteri yang mempunyai 'locus standi' berkenaan isu ini, Ka Siong memaklumkan beliau juga berbincang dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Takiyuddin Hassan berkenaan perkara itu.

Pindaan ke atas Akta Pengangkutan Jalan 1987 terutama Seksyen 41-45 berkaitan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol/ dadah/ memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kecederaan atau meragut nyawa pengguna jalan raya lain akan dimuktamadkan sebelum pertengahan Jun ini.

Selepas itu, ia akan dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet dalam masa terdekat. Kerajaan komited untuk membawa ke Parlimen dalam persidangan Dewan Rakyat Julai ini untuk pindaan akta.

Selain itu, YB menteri turut memaklumkan bahawa penguatkuasaan akan dipertingkatkan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan turut diberi kuasa selain polis dalam usaha pembanterasan isu ini.

Pendidikan berkaitan perkara ini juga akan diteruskan dan ditambah baik kerana ini penyelesaian jangka panjang yang berkesan. Doakan semoga dipermudahkan segala usaha kerajaan dalam menangani isu ini!

#PemanduMabukPembunuh #ShameOnDrunkDrivers! Bersama membina #MalaysiaSejahtera!

* Ir Khairil Nizam Khirudin ialah Ketua Pemuda Pas Malaysia