X

Kindly register in order to view this article
!

Pasar malam percubaan jadi penanda aras

Pelanggan yang hadir perlu diperiksa suhu badan dan menggunakan cecair pembasmi kuman.
A
A

KUALA NERUS - Penganjuran pasar malam di perkarangan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, di sini akan menjadi penanda aras sama ada ia akan diperluaskan ke seluruh negeri atau sebaliknya.

Setiausaha Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Fadli Yusof Zakaria berkata, percubaan itu akan dibuat untuk tempoh tiga atau empat kali bergantung kepada keadaan semasa.

Setelah itu katanya, laporan lengkap akan diserahkan kepada kerajaan negeri bagi melihat sendiri kadar pematuhan dalam kalangan peniaga dan pelanggan serta perkara berbangkit termasuk prosedur operasi standard (SOP) yang disediakan.

Fadli Yusof Zakaria
Fadli Yusof Zakaria

"Buat masa ini, 112 gerai dibuka pada Jumaat bermula jam tiga hingga tujuh petang. Jika berjaya mungkin masa akan dilanjutkan.

"Seramai 10 penguat kuasa juga ditempatkan di pasar malam dan dibantu anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan persatuan penjaja untuk memantau keadaan semasa.

"Konsep yang akan kita cadangkan bergantung kepada lokasi. Jika di kawasan terbuka mungkin kita akan mengetatkan pergerakan mereka. Kalau berjaya, pasar malam ini akan dijadikan panduan dan mungkin diperluaskan di kawasan dan daerah lain," katanya.

Beliau berkata demikian ketika melakukan tinjauan pematuhan pasar malam percubaan di pekarangan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, di sini, hari ini.

Sementara itu, mengulas mengenai pemantauan yang dilakukannya, Fadli berkata, pihaknya berpuas hati dengan pematuhan dalam kalangan peniaga.

Jelasnya, walaupun baru pertama kali dibuka setelah lama ditutup susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), disusuli dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), peniaga dan pelanggan dilihat memahami dan bersedia dengan syarat baharu yang dilaksanakan.

"Kita harap ia berterusan kerana bimbang peniaga tidak dapat berniaga di pasar malam jika ingkar pematuhan.

"Berkenaan dengan lanjutan masa pula, ia bergantung kepada tahap pematuhan peniaga itu sendiri, kalau keadaan terkawal mungkin kita akan cadangkan kepada kerajaan untuk lanjutkan.

"Bagi operasi pasar malam pula, cara pelaksanaannya akan ditentukan kemudian serta bergantung kepada persatuan penjaja. Kemungkinan mengguna pakai sistem penggiliran atau dihadkan kepada peniaga tempatan, kita akan putuskan bila sampai masanya," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus