Ahli Parlimen Lubok Antu keluar PKR, ikrar sokong kerajaan PN

TAMBAT @ JUGAH MUYANG
TAMBAT @ JUGAH MUYANG
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Lubok Antu, Tambat @ Jugah Muyang hari ini mengumumkan keluar Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan kembali sebagai wakil rakyat bebas.

Beliau turut menyatakan pendirian menyokong penuh kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan kerajaan negeri Sarawak pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Tambat berkata, keputusan itu dibuat setelah berbincang dengan penyokongnya untuk kebaikan pembangunan Lubok Antu.

"Saya berikrar menyokong penuh kerajaan PN yang diketuai Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, kerajaan negeri Sarawak pimpinan GPS diketuai Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Abdul Rahman Johari Abang Openg, demi kesejahteraan dan pembangunan kepada rakyat di Lubok Antu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas beliau, pada PRU-14, beliau bertanding sebagai calon bebas dan menang atas mandat rakyat.

Katanya, selepas kemenangan itu, beliau membuat keputusan menyertai PKR sebagai salah satu parti yang membentuk kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika itu, bagi menyusul penyokongnya yang menyertai PKR lebih awal.

"Kawasan Parlimen saya merupakan kawasan luar bandar dan memerlukan bantuan serta sokongan kerajaan untuk pembangunan.

"Saya kesal apabila berlaku masalah dalaman di antara parti dalam kerajaan PH dan perdana menteri ketika itu meletakkan jawatan mengakibatkan kerajaan PH tumbang," katanya.

Artikel Berkaitan: