Melaka jangka tambah bilangan jemaah solat Jumaat

MELAKA TENGAH - Melaka dijangka menambah bilangan jemaah solat Jumaat melebihi 40 orang berdasarkan pandemik koronavirus (Covid-19) yang menunjukkan perkembangan positif di negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Sulaiman Md Ali berkata, ketetapan tersebut masih dalam perbincangan dan kajian sedang dilakukan Pejabat Mufti serta Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) sebelum keputusan dibuat selepas 9 Jun ini.
Menurutnya, penambahan bilangan antara 100 hingga 200 orang itu bergantung kepada keluasan ruang solat utama di sesebuah masjid mahupun surau yang telah diberikan tauliah untuk solat Jumaat sekali gus memberi peluang lebih ramai jemaah untuk mendirikan solat tersebut.
"Kerajaan negeri melalui perbincangan dengan Pejabat Mufti dan JAIM ada cadangan menambah bilangan jemaah solat Jumaat melihat kepada keluasan ruang solat kerana ada yang boleh memuatkan jemaah sehingga 1,200 orang dalam satu-satu masa.