Pengurus rumah kematian didakwa ah long kejam diberkas

Mohd Padzli (tengah) dan Timbalannya, Superitendan Lim Jit Huey (kiri) menunjukkan telefon bimbit dan cecair peluntur yang digunakan ah long untuk menakut-nakutkan dan mengugut mangsanya, pada sidang akhbar di IPD Johor Bahru Selatan, Larkin, Johor Bahru, hari ini.
Mohd Padzli (tengah) dan Timbalannya, Superitendan Lim Jit Huey (kiri) menunjukkan telefon bimbit dan cecair peluntur yang digunakan ah long untuk menakut-nakutkan dan mengugut mangsanya, pada sidang akhbar di IPD Johor Bahru Selatan, Larkin, Johor Bahru, hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis berjaya menumpaskan satu sindiket ah long yang didakwa berbahaya termasuk melakukan ugutan bunuh selepas menahan empat lelaki di sebuah kediaman di Taman Mount Austin.

Kesemua suspek yang bekerja sebagai pengurus rumah kematian berusia antara 21 hingga 40 tahun ditahan dalam dua serbuan berasingan pada jam 5 petang dan 8.30 malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zain berkata, polis turut merampas dua tin cat merah, cecair peluntur, buku hutang, plat kenderaan palsu dan sebuah kereta yang disyaki untuk memeras ugut mangsa.

"Penangkapan kesemua suspek berjaya menyelesaikan tujuh kes berkaitan ah long di kawasan Johor Bahru Selatan," katanya dalam satu sidang akhbar di IPD Johor Bahru Selatan, Larkin di sini hari ini.

Beliau berkata, serbuan dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan.

Menurut beliau, semua suspek direman empat hari bermula semalam untuk siasatan lanjut di bawah 5 (2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 dan Sesyen 506 Kanun Keseksaan.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak berurusan dengan ah long yang biasanya mengiklankan pinjaman segera melalui internet dan khidmat pesanan ringkas (SMS) sebaliknya berurusan dengan institusi perbankan.

Langkah itu katanya, bagi menghalang peminjam menjadi mangsa sindiket yang sentiasa mengambil kesempatan mengaut keuntungan mudah dan mengenakan kadar faedah yang tidak munasabah.

Artikel Berkaitan: