Balak di Tasik Chini dicuri

Sebahagian 80 balak ditemui kawasan hutan Rizab Pelancongan Tasik Chini yang cuba dipindahkan secara haram, kelmarin.
Sebahagian 80 balak ditemui kawasan hutan Rizab Pelancongan Tasik Chini yang cuba dipindahkan secara haram, kelmarin.
A
A
A

KUANTAN - Sebanyak 80 tual balak jenis Meranti bernilai lebih RM50,000 di kawasan Rizab Pelancongan Tasik Chini didapati ditebang secara haram.

Pegawai Pejabat Hutan Daerah (PHD) Kuantan, Pekan dan Maran, Ismail Ali Kamarudeen berkata, kegiatan itu dikesan selepas rondaan dan pemeriksaan dilakukan di kawasan hutan tersebut kelmarin menemui 30 tunggul balak pelbagai saiz yang ditebang sejak beberapa hari lalu.

Menurutnya, kesemua balak berukuran lima meter panjang yang dicuri itu dihantar ke kilang papan tertentu.

"Ada antara kilang papan yang sedia menerima balak tanpa sebarang permit atau dokumen," katanya.

Beliau berkata, dalam pemeriksaan dilakukan pihaknya turut menemui lori tiga tan, motosikal dipercayai milik suspek dan traktor digunakan untuk memindahkan, menarik balak tersebut.

"Berdasarkan penemuan itu, kita yakin dua hingga tiga individu terlibat dalam kegiatan berkenaan. Kita menjangkakan mereka ini mempunyai pengalaman luas dengan aktiviti pemindahan balak secara haram.

"Malah, kita juga gagal menahan individu terlibat selepas mereka melarikan diri sebaik mengesan kehadiran pasukan penguat kuasa," katanya ketika dihubungi hari ini.

Ismail berkata, kegiatan ahli sindiket tersebut menjurus kepada dua tujuan iaitu meraih pendapatan hasil jualan balak selain untuk menjadikan kawasan tanah kerajaan yang diwartakan Rizab Pelancongan Tasik Chini sebagai ladang kelapa sawit.

Artikel Berkaitan:

"Jadi, kita berpendapat kegiatan ini dilakukan individu setempat yang biasa dengan kawasan hutan terbabit," katanya.

Beliau bagaimanapun menjelaskan, pihaknya memandang serius kegiatan menceroboh dan menebang balak dalam kawasan Rizab Pelancongan Tasik Chini kerana akan menjejaskan ekosistem Tasik Chini yang menjadi produk pelancongan negeri ini.

"Lesen aktiviti pembalakan di kawasan hutan Tasik Chini kini tidak lagi dikeluarkan demi menjaga ekosistem tasik legenda berkenaan yang terkenal dengan kisah Naga Tasik Chini," katanya.