Solat Jumaat: Kedah kekal 12 jemaah

SYEIKH FADZIL
SYEIKH FADZIL
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan Kedah belum membuat sebarang keputusan berhubung penambahan bilangan jemaah solat Jumaat kepada 40 orang seperti di Kelantan dan Sabah.

Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang berkata, bilangan jemaah solat Jumaat di negeri ini kekal 12 orang terdiri daripada imam dan Ahli Jawatankuasa (AJK) masjid sahaja.

Menurutnya, pihaknya akan menunggu sehingga kerajaan membuat pengumuman berhubung keadaan terkini koronavirus (Covid-19) pada Sabtu ini.

“Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Kebangsaan Malaysia (MKI) akan diadakan pada 9 Jun bagi membincangkan isu ini termasuk isu-isu berkaitan,” katanya.

Menurutnya, Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah akan mengadakan perbincangan untuk memuktamadkan keputusan MKI di peringkat negeri sebelum dipersembahkan bagi mendapat perkenan Sultan Kedah.

Beliau berkata demikian bagi memperjelas kekeliruan berhubung dakwaan orang ramai mengatakan Kedah membenarkan solat Jumaat seramai 40 orang bermula Jumaat ini.

Artikel Berkaitan: