Peniaga rugi RM12,650 kerana tong gas lelong

Gambar hiasan. Foto: 123RF
Gambar hiasan. Foto: 123RF
A
A
A

KUANTAN - Seorang peniaga mendakwa mengalami kerugian sebanyak RM12,650 selepas membuat urusan membeli 250 tong gas kosong daripada pegawai kononnya dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, kejadian berlaku pada 28 Mei lalu selepas mangsa dihubungi 'Tuan Azman' pada jam 12 tengah hari yang menawarkan lelongan tong tersebut dengan harga RM49 seunit.

Beliau berkata, mangsa yang berminat kemudian membuat lima kali transaksi ke akaun sama yang jumlah keseluruhan RM12,250.

"Suspek memaklumkan tong gas itu akan dihantar dalam masa terdekat, namun sehingga kini barangan dibeli masih belum diterima," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu pada 27 Mei lalu, mangsa turut menerima panggilan daripada pegawai dari Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Raub yang meminta menjelaskan kompaun berjumlah RM1,000 yang dikenakan bertarikh 13 Mei 2020.

Bagaimanapun, suspek bersetuju bayaran tersebut dikurangkan kepada RM400 sebelum mangsa kemudian membuat pindahan wang ke akaun diberikan.

Beliau berkata, mangsa bagaimanapun tampil membuat laporan polis selepas merasakan dirinya ditipu melibatkan kedua-dua kejadian berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan: