Kenaikan harga tiket feri perlu kelulusan MOT

Azman Nasrudin
Azman Nasrudin
A
A
A

ALOR SETAR - Kenaikan harga tiket feri ke Langkawi perlukan kelulusan daripada Kementerian Pengangkutan (MOT), bukannya diputuskan di peringkat negeri.

Exco Pertanian dan Industri Makanan, Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Pengangkutan dan Hal Ehwal Masyarakat India Kedah, Azman Nasrudin berkata, kerajaan negeri telah menerima permohonan daripada pengusaha-pengusaha feri untuk menaikkan kadar tambang feri ke Kuala Kedah dan Kuala Perlis, dan perkara itu akan dipertimbangkan di peringkat Pusat.

Menurutnya, kerajaan Perikatan Nasional (PN) Kedah turut menerima permohonan berkenaan dan akan diserahkan kepada Kementerian Pengangkutan untuk kelulusan.

“Timbul isu selepas sidang akhbar saya semalam berhubung cadangan menaikkan kadar tambang feri dari Kuah, Langkawi ke Kuala Kedah dan Kuala Perlis. Berdasarkan keputusan mesyuarat Exco lalu, kita telah terima permohonan itu,” katanya selepas Mesyuarat Exco di sini hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN] - Kabinet tentukan kadar baharu tiket feri di Kedah

Azman berkata, permohonan kenaikan harga tiket feri itu adalah disebabkan kos yang semakin meningkat saban tahun, namun tambang feri tidak pernah dinaikkan sejak 13 tahun lalu walaupun dijanjikan berkali-kali oleh kerajaan terdahulu.

“Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kita akan pertimbangkan kepentingan semua pihak iaitu kepentingan pengguna, rakyat Langkawi dan pengusaha-pengusaha feri. Kali terakhir harga tiket dinaikkan pada tahun 2007,” katanya.

Semalam, Azman tegaskan, perjalanan feri juga akan diserahkan kepada Kementerian Pengangkutan untuk memberi kelulusan pertambahan kekerapan jadual perjalanan.

Kenaikan harga tiket seharusnya tidak membebankan rakyat dan pada masa sama, pengusaha feri harus meningkatkan kualiti perkhidmatan agar penumpang lebih selesa sepanjang perjalanan.

Artikel Berkaitan: