Lelaki didakwa buat pernyataan dengan niat untuk menakutkan

Tertuduh ketika tiba di pekarangan Mahkamah.
Tertuduh ketika tiba di pekarangan Mahkamah.
A
A
A

KUALA PILAH - Seorang pekerja pembersihan di sebuah sekolah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membuat dan menyiar satu penyataan berkaitan undang luak Jelebu di laman sosial Facebook, pada Mac lalu.

Berdasarkan pertuduhan, Norazman Ahmad, 57, didakwa membuat dan menyiar suatu pernyataan atau khabar angin (komen) dengan niat menyebabkan rasa takut atau bimbang kepada orang awam yang mana orang boleh didorong untuk melakukan suatu kesalahan terhadap ketenteraman awam.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di sekitar Kuala Klawang, Jelebu antara jam 11 dan 2.30 pagi, pada 22 dan 23 Mac lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Tertuduh turut mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan pilihan.

Mengikut pertuduhan pilihan, dia didakwa secara sedar menggunakan kemudahan rangkaian Facebook berserta dengan nombor telefon miliknya untuk membuat penghantaran komen yang dibaca dan dilihat oleh Mohd Fadzil Abdul Ghani, 53, dengan niat menyakitkan hati, menganiaya serta mengugut atau mengganggu.

Pertuduhan mengikut Seksyen 233 (1) Akta Komunikasi Multimedia 1988 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan denda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Artikel Berkaitan:

Hakim, Nariman Badruddin membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dan menetapkan sebutan kes pada 14 Julai depan. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Fuad Ramlan.