X

Kindly register in order to view this article
!

Indonesia batal hantar jemaah haji

Ratusan ribu jemaah Indonesia tidak akan menunaikan ibadah haji di Arab Saudi pada tahun ini. - Foto: AFP
A
A

JAKARTA - Kementerian Hal Ehwal Agama Indonesia mengumumkan tidak akan membenarkan jemaah dari negara itu untuk menunaikan ibadah haji di Arab Saudi pada tahun ini di tengah-tengah pandemik koronavirus (Covid-19).

Menterinya, Fachrul Razi berkata, keputusan itu dibuat kerana wabak masih melanda di hampir seluruh dunia termasuk Indonesia dan Arab Saudi.

"Pembatalan keberangkatan jemaah haji melibatkan semua rakyat tanpa pengecualian termasuk mereka yang menggunakan kuota haji biasa dan khas serta undangan visa haji mujamalah atau furada iaitu visa khusus yang dikeluarkan oleh pihak Arab Saudi," katanya.

Meskipun musim haji semakin hampir, Arab Saudi sehingga kini masih belum membuka akses bagi jemaah dari mana-mana negara sedangkan ia memerlukan banyak persiapan selain mengambil masa yang panjang.

Indonesia telah memberi Arab saudi tempoh sehingga 20 Mei lalu untuk memberi jaminan bahawa ibadah haji dapat dilaksanakan pada tahun ini meskipun terdapat laporan baru-baru ini yang menyatakan negara itu menyediakan kemudahan mencukupi.

"Oleh sebab itu, pemerintah Indonesia berpendapat Arab saudi mungkin tidak mempunyai tempoh yang cukup untuk melakukan persediaan terutamanya dalam perkhidmatan dan melindungi jemaah," kata Fachrul seperti dilaporkan Kompas.com.

Difahamkan, keputusan untuk membatalkan jemaah haji Indonesia bagi tahun 1441 Hijrah diputuskan melalui Keputusan Menteri Agama No. 494 Tahun 2020.

Fachrul berkata, kesihatan dan keselamatan jemaah haji harus diutamakan.

Musim haji tahun ini dijangka bermula pada 28 Julai di mana seramai 221,000 jemaah Indonesia dijadualkan berangkat ke Saudi pada 26 Jun ini. - Agensi


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!