Rumah kosong punca pembiakan aedes boleh dilucutkan hak

Abd Rahim melihat serpihan sampah sarap yang menjadi punca kepada pembiakan nyamuk aedes pada Program Task Force Denggi Kuantan di Sungai Isap, hari ini.
Abd Rahim melihat serpihan sampah sarap yang menjadi punca kepada pembiakan nyamuk aedes pada Program Task Force Denggi Kuantan di Sungai Isap, hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) boleh melucutkan hak rumah kosong yang ditinggalkan di kawasan perumahan yang mengakibatkan wabak denggi di kawasan terbabit.

Exco Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, Abd Rahim Muda berkata, perlucutan itu mengikut Akta Kerajaan Tempatan dan mengikut proses perundangan termasuk mengeluarkan notis, mengenakan kompaun dan tindakan mahkamah.

"Pemilik rumah yang masih ingkar, perlu akur jika kediaman mereka dilucutkan hak bagi mengelakkan pembiakan nyamuk aedes," katanya pada Program Task Force Denggi Kuantan di Sungai Isap,hari ini.

Abd Rahim berkata, pemeriksaan yang dilakukan di Perkampungan Sungai Isap mendapati sebanyak 24 rumah kosong berpotensi menjadi kawasan pembiakan nyamuk aedes.

Ditanya mengenai program yang dianjurkan itu, beliau berkata, Task Force Denggi diwujudkan bagi merancang dan melaksanakan aktiviti program pencegahan wabak denggi.

Abd Rahim mengumpul sampah yang tidak diurus dengan sebaiknya, pada Program Task Force Denggi Kuantan di Sungai Isap, hari ini.
Abd Rahim mengumpul sampah yang tidak diurus dengan sebaiknya, pada Program Task Force Denggi Kuantan di Sungai Isap, hari ini.

Jelasnya, tindakan penguatkuasaan lebih tegas akan diambil terhadap segelintir masyarakat yang mengambil mudah pencegahan denggi.

"Task Force ditubuh susulan kes denggi di Pahang yang agak serius berbanding tahun 2019. Kawasan Sungai Isap sahaja mencatatkan kes lokaliti berulang dan wabak walaupun banyak program pencegahan denggi telah dijalankan sejak awal 2020," katanya.

Artikel Berkaitan:

Task Force ini terdiri daripada Bahagian Kerajaan Tempatan (BKT) Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang, Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Pejabat Daerah dan Tanah Kuantan, Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (Unified Enforcement), Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Pahang, Alam Flora dan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang.