Selesai segera isu pemandu mabuk: AMK Kedah

Mohammed Firdaus Johari
Mohammed Firdaus Johari
A
A
A

ALOR SETAR - Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kedah menggesa kerajaan berbincang dan bekerjasama dengan Majlis Peguam Malaysia bagi membolehkan keluarga mangsa pemandu mabuk membuat tuntutan sivil tanpa dibebani kewangan yang tinggi.

Ketuanya, Mohammed Firdaus Johari berkata, semua Ahli Parlimen wajib menyokong pindaan Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan apabila dibawa ke persidangan Parlimen.

"Kerajaan ada menyatakan pihak polis juga perlu bantu keluarga mangsa kemalangan maut akibat pemandu mabuk, bagi memudahkan mereka membuat tuntutan sivil di mahkamah sebagai hak mereka di sisi undang-undang," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan serius tangani isu pemandu mabuk

Pada 29 Mei, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan berkata, kerajaan akan memberi perhatian serius dan mengambil tindakan tegas terhadap kes kemalangan maut membabitkan pemandu mabuk.

ARTIKEL BERKAITAN: Cadangan pindaan Akta 333 dibawa ke sidang Parlimen terdekat

Langkah segera yang akan diambil kerajaan ialah memastikan cadangan pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang dimuktamadkan oleh Kementerian Pengangkutan dibawa ke persidangan Parlimen dalam masa terdekat.

Mengulas lanjut, Mohammed Firdaus turut mengulangi pendiriannya sebelum ini yang mahu hukuman terhadap pemandu mabuk dan pesalah jalan raya yang menyebabkan kematian ditingkatkan kepada minimum penjara lima tahun dan maksimum penjara seumur hidup.

Artikel Berkaitan:

"Cadangan denda tidak melebihi RM200,000, serta wang pampasan dibayar kepada keluarga waris. Lesen memandu pesalah juga wajib digantung seumur hidup," katanya.

Menurutnya, pendirian AMK Kedah konsisten dan isu ini melibatkan nyawa manusia yang merentasi pendirian politik.

"Ini bukan bahan tunggangan politik. Jangan sesekali mengheret isu perkauman dalam kes pemandu mabuk," katanya.

Mohammed Firdaus turut mendesak perkara berkenaan diselesaikan segera sama seperti kerajaan menangani isu Covid-19 dan dianggap sebagai wabak yang terabai dan tersisih.