X

Kindly register in order to view this article
!

Permintaan santan terus meningkat, ramai masak di rumah

Ahmad Afandi (empat dari kiri) melihat pekerjanya membuat pembungkusan santan segar.
A
A

SEREMBAN – Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membawa rezeki berganda kepada pengusaha santan segar jenama Afina apabila mendapat permintaan dua kali ganda berbanding biasa.

Pemiliknya, Ahmad Afandi Alazmi,37, berkata, jika sebelum ini dia mengeluarkan sebanyak 30 tan santan segar dalam tempoh sebulan, tetapi sekarang mencecah ke 70 tan sebulan.

Menurutnya, beliau percaya permintaan mengalakkan itu disebabkan ramai yang mula memasak di rumah sepanjang tempoh PKP ini selain sambutan Hari Raya Aidilfitri.

“Sebagai peniaga tentunya saya risau bila awal PKP itu. Yelah...pergerakan semua terbabas menyebabkan orang susah mahu membeli. Tapi saya bersyukur kerana permintaan sangat menggalakkan sehingga ke hari ini.

“Kami tak menang tangan dibuatnya. Saya rasa ramai orang mula memasak makanan sendiri di rumah berbanding beli di kedai makan atau restoran kerana ia lebih selamat dan meyakinkan,” katanya kepada Sinar Harian.

Ahmad Afandi yang menjalankan perniagaan santan sejak 10 tahun lalu berkata, beliau mempunyai seramai 12 pekerja untuk menguruskan operasi termasuk pembungkusan dan penghantaran di Negeri Sembilan, Melaka, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Katanya, santan yang dikeluarkannya dihasilkan setiap hari dan mampu bertahan antara tujuh sehingga 14 hari, bergantung juga kepada cara penyimpanan.

“Kami guna kaedah ‘steamer’ dan sebab itu ia lebih tahan lama. Walaupun ia dapat bertahan lama, tapi santan yang diproses hari ini untuk jualan hari esok, bukannya yang sudah dihasilkan beberapa hari.

“Sekarang ini pengeluaran kami antara 500 sehingga 1,000 kilogram santan sehari. Memang ramai peniaga yang terjejas sepanjang PKP dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat(PKBP) ini, tapi saya bersyukur kerana perniagaan kami bukan saja berjalan seperti biasa, tapi bertambah baik,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus