Sudah-sudahlah berpolitik

Gambar hiasan -Foto 123rf
Gambar hiasan -Foto 123rf
A
A
A

BELUM sempat reda dengan pandemik koronavirus (Covid-19) yang melanda negara, suasana politik Malaysia sekali lagi dikejutkan dengan isu melibatkan pecat-memecat yang berlaku dalam Bersatu.

Lima ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad digugurkan keahliannya daripada parti itu serta-merta pada 28 Mei lalu.

Belum cukup dengan peristiwa tersebut, Dr Mahathir mendakwa pemecatan tersebut tidak sah kerana tidak diberi peluang untuk membela diri, lantas Setiausaha Kerja Bersatu, Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya yang dikatakan bertindak mengeluarkan surat menggugurkan keahlian lima pemimpin parti itu termasuk ke atas bekas Pengerusinya, Dr Mahathir dipecat daripada jawatan berkuat kuasa serta-merta.

Drama politik gila itu berlaku hari demi hari dalam keadaan rakyat berhadapan situasi sukar menempuh suasana wabak Covid-19.

Persoalannya, apakah pemimpin-pemimpin berlagak seumpama Godfather ini menghiraukan rakyat di bawah yang ada antaranya sedang membilang baki-baki syiling untuk membeli makanan.

Ada juga antara rakyat di bawah yang termenung kerana baru sahaja menerima notis pemberhentian kerja malah ada yang menerima notis cuti tanpa gaji dalam tempoh yang panjang.

Adakah drama gila politikus-politikus ini dapat mengembalikan keadaan kembali normal seperti biasa, ternyata pastinya walau berkelahi sejauh mana sekalipun rakyat tidak mendapat manfaat.

Malah, dengan keadaan ekonomi yang dikatakan baru mula bernafas sejak Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan pastinya memerlukan suasana politik yang mampan dan stabil.

Artikel Berkaitan:

Berdamai

Seharusnya pimpinan kerajaan yang diterajui Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu diberikan ruang seluas-luasnya dan selesa yang mungkin untuk memacu negara menghadapi suasana mencabar ini.

Dalam satu kenyataan pada 28 Mei lalu, Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Tan Sri Dr Rais Yatim meminta Dr Mahathir berdamai dan menghentikan mainan politik.

Rais menerusi ciapan di Twitter beliau berkata, Dr Mahathir masih kuat bermain politik dan mengasak partinya sendiri.

“Tolonglah Tun cukuplah tu. Berdamailah. Amalkan petua murni yang Tun ajarkan kami dulu-dulu,” katanya menerusi ciapan di Twitter beliau.

Jika dilihat kembali apa yang diungkapkan bekas Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan itu, memang ada kewajarannya kerana apa yang ditimbulkan bekas Perdana Menteri itu seakan-akan tidak kena pada masanya.

Tindakan gencatan politik seharusnya diutamakan tatkala negara berhadapan dengan situasi getir Covid-19.

Tidak dinafikan figura insan bergelar Dr Mahathir merupakan nama besar bukan sahaja di Malaysia, malah turut dikenali seantero dunia.

Namun, seharusnya jasa itu perlu terus dikenang tanpa perbuatan dan perilaku yang memualkan rakyat jelata.

Seharusnya pemain-pemain politik perlu sedar kepentingan peribadi dan soal kuasa bukan menjadi keutamaan, sebaliknya rakyat yang harus didahulukan.

Inilah masa blok kerajaan dan pembangkang bersama-sama membantu rakyat di bawah tanpa mengira agama atau bangsa.

Negeri-negeri juga perlu mengikuti model pelaksanaan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) kepada rakyat.

Pemberian bantuan bukanlah mengajar rakyat menjadi malas sebagaimana yang pernah diungkapkan oleh seorang pemimpin dahulu, sebaliknya ia merupakan tanggungjawab setiap pemerintah.

Tiada istilah beri tongkat, tiada istilah memanjakan, sebaliknya ia adalah berkisarkan tanggungjawab.

Jadi, laksanakan amanah yang diberikan dengan sebaiknya, jangan diungkit kisah lalu, kisah-kisah seperti pintu belakang, tebuk atap atau kisah yang palsu dan pastinya bikin bernanah telinga rakyat mendengarnya.

Ambil peduli dan cakna dengan permasalahan rakyat. Sudah-sudahlah berpolitik, bukan saja muak malah rakyat sudah benci mendengarnya.

* Muhammad Aminnuralidd Mohd Zoki ialah Wartawan Edisi Selangor Sinar Harian