X

Kindly register in order to view this article
!

Ingkar SOP, Pasar Bisik Kuala Muda ditutup

Notis penutupan Pasar Bisik dilekat pada tiang dan peniaga diarahkan segera menghabiskan jualan ikan sebelum mengosongkan pasar berkenaan.
A
A

KEPALA BATAS - Akibat tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan, Pasar Bisik Kuala Muda, Penaga di sini diarah tutup selama tujuh hari bermula hari ini.

Tindakan penguatkuasaan itu dibuat Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang selepas mendapati peraih dan penjual ikan di pasar awam berkenaan tidak melakukan penjarakan sosial, malah ramai yang tidak memakai topeng muka selain tiada saringan serta pemeriksaan suhu dilakukan di pintu masuk pasar terbabit.

Pegawai Kesihatan Persekitaran Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Mohd Wazir Khalid berkata, pemantauan yang dilakukan pihaknya sejak sebulan lalu mendapati hampir keseluruhan SOP yang digariskan untuk Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tidak dilakukan.

Menurutnya, SOP ditetapkan masih tidak dipatuhi walaupun sudah beberapa kali peringatan dan amaran diberikan termasuk semasa pertemuan antara pihaknya dengan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Negeri Pulau Pinang serta Ketua Unit Nelayan di kawasan itu.

"Sebelum ini seramai 21 lelaki terdiri daripada peraih dan penjual ikan pernah dikenakan kompaun RM1,000 kerana gagal mematuhi SOP.

"Tindakan yang dikenakan langsung tidak memberi kesedaran kepada mereka seolah-olah wabak koronavirus (Covid-19) ini bukan ancaman sekiranya ia merebak di pasar awam ini," katanya ketika ditemui media selepas melakukan pemeriksaan di pasar awam terbabit tengah hari tadi.

Wazir (kiri) ketika meninjau urusan jual beli yang dilakukan di Pasar Bisik.
Wazir (kiri) ketika meninjau urusan jual beli yang dilakukan di Pasar Bisik.

Pasar Bisik Kuala Muda terkenal sebagai pusat daratan ikan dan sering menjadi tumpuan ramai untuk mendapatkan ikan segar dan harga yang lebih murah daripada pasaran luar.

Lebih unik urus niaga dan tawar menawar di antara peraih dan penjual ikan di pasar itu dibuat melalui kaedah berbisik sejak sekian lama, namun perkara itu yang paling dibimbangi akan menyebabkan penularan jangkitan wabak berlaku sekiranya mereka masih meneruskan amalan itu.

Wazir berkata, tindakan penutupan pasar berkenaan dibuat mengikut Seksyen 18 (1) (f) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Menurutnya, pasar berkenaan hanya boleh dibuka semula sekiranya mereka memberi jaminan akan mematuhi semua garis panduan ditetapkan selain perlu melakukan sanitasi di pasar terbabit.

Arifin
Arifin

Sementara itu, beberapa nelayan dan penjual ikan yang berada di pasar terbabit meluahkan rasa kesal atas tindakan penutupan pasar itu, malah mendakwa akan menyebabkan kerugian disebabkan hasil tangkapan mereka tidak dapat dijual.

Ketua Unit Nelayan Kuala Muda, Arifin Mat ketika ditemui berkata, pihaknya akur dengan tindakan yang dikenakan dan mengakui telah berulang kali peringatan diberikan supaya mereka yang berada di pasar terbabit mematuhi SOP ditetapkan sejak pasar awal perlaksanaan PKP lagi.

Namun katanya, disebabkan terlalu ramai yang datang dan menjalankan urus niaga di sini menyebabkan keadaan sukar dikawal.

"Lebih 300 nelayan berlesen mencari rezeki di kawasan ini dan mereka mengeluh akan hilang punca pendapatan sekiranya pasar ini ditutup sedangkan sebelum ini mereka sudah terhimpit dengan pelbagai masalah akibat terkesan dengan PKPB.

"Kita merayu agar pasar ini dapat dibuka semula dalam kadar segera dan kami akan pastikan pematuhan SOP akan dilakukan dan akan memberi kerjasama dengan pihak berkuasa," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus