X

Kindly register in order to view this article
!

Suami isteri, polis bantuan ditahan miliki senapang buatan sendiri

Senapang patah buatan sendiri yang dirampas dipercayai digunakan untuk memburu. Satu kelongsong peluru kosong jenis 12 bore yang turut dirampas - Foto ihsan IPD Kemaman
A
A

KUALA TERENGGANU - Empat individu termasuk sepasang suami isteri dan seorang anggota polis bantuan ditahan kerana memiliki selaras senapang patah buatan sendiri dipercayai digunakan untuk kegiatan memburu secara haram dalam serbuan di Kampung Tanah Lot, Batu 4 Binjai, Kemaman, kelmarin.

Serbuan sempena Op Laras dilakukan sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Polis Chukai, Kemaman jam 11.45 pagi di rumah itu turut merampas satu kelongsong peluru kosong jenis 12 bore.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik berkata, tiga daripada empat suspek merupakan warga Indonesia berusia antara 39 hingga 57 tahun, manakala anggota berpangkat Lans Koperal dari Chukai, Kemaman, berusia 49 tahun.

"Semasa tiba di lokasi, anggota terlibat terpaksa menjerit memperkenalkan diri sebagai polis beberapa kali namun tiada sebarang jawapan sebelum masuk ke dalam rumah melalui pintu hadapan rumah kerana didapati tidak berkunci.

"Pemeriksaan selanjutnya di dalam rumah menjumpai tiga lelaki bersama seorang wanita yang ketika itu sedang berehat dan salah seorang daripada suspek warga Indonesia berusia 41 tahun mengaku pemilik rumah selain mengaku wanita berusia 39 tahun itu adalah isterinya.

"Dia turut mengaku anggota polis bantuan itu dan seorang lagi lelaki warga Indonesia merupakan rakannya yang memang selalu datang ke rumah sebelum ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Roslee berkata, hasil pemeriksaan di ruang tamu rumah berjaya menemukan satu kelongsong peluru kosong jenis 12 bore, warna biru berukir nombor 12 dan berbentuk bintang di bahagian belakang kelongsong yang diletakkan di atas almari pakaian di bahagian kanan ruang.

Roslee Chik
Roslee Chik

"Pemeriksaan seterusnya dilakukan di dalam bilik pasangan suami isteri tersebut menjumpai selaras senapang patah buatan sendiri yang disembunyikan di celah almari baju dipercayai milik suspek yang digunakan untuk memburu secara haram.

"Siasatan seterusnya ke atas suspek mendapati pasport miliknya sudah tamat tempoh manakala rakan senegaranya tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah dan hanya isterinya yang mempunyai dokumen perjalanan lengkap.

"Keempat-empat suspek seterusnya dibawa ke Balai Polis Chukai, Kemaman untuk siasatan lanjut," katanya.

Kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960 kerana memiliki senjata api tanpa lesen dan senjata api tiruan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.

Selain itu, suspek bersama rakan senegaranya turut disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) kerana dokumen perjalanan tamat tempoh dan tiada sebarang dokumen perjalanan yang sah.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!