Lompat parti perlu kena sifirnya, jika tidak boleh makan diri

Rais Yatim
Rais Yatim
A
A
A

[LAPORAN KHAS] SHAH ALAM - Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Dr Rais Yatim menegaskan bahawa lompat parti tidak menjadi kesalahan kerana hak memilih pertubuhan politik adalah terletak pada individu.

Mengambil contoh kes mahkamah Dewan Undangan Negeri Kelantan lawan Nordin Salleh, beliau berkata, pada 3 April 1992 lima Hakim Mahkamah Agung memutuskan bahawa hak untuk meninggalkan sesebuah parti politik dan untuk menyertai sesebuah parti politik yang lain adalah satu bahagian yang mustahak dalam hak asasi berpersatuan atau sekurang-kurangnya menyerupai sifat asas yang sama dengan kebebasan berpersatuan.

“Memang orang kata orang itu oportunis tetapi hak undang-undangnya tetap kekal sebagai seorang pemilik kepada parti yang dia suka,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan ahli politik yang sering melompat parti termasuk ketika perubahan kerajaan Pakatan Harapan kepada Perikatan Nasional pada awal Mac lalu.

Cuma, katanya, pemain politik perlu berhati-hati sebelum mengambil tindakan lompat parti kerana jika silap langkah boleh memakan diri sendiri.

“Lompatan itu haruslah kena pada sifirnya. Kalau sifirnya tidak kena, kebangsaan ke, ekonomi ke, agama ke, itu kena dijawab oleh peribadi masing-masing,” katanya.

Sejarah karier politik Rais ketika bersama Semangat 46.
Sejarah karier politik Rais ketika bersama Semangat 46.

Berbicara mengenai dirinya yang sebelum ini adalah antara orang kuat dalam UMNO dan kemudiannya menyertai Bersatu, beliau menegaskan, apa yang beliau lakukan tidak sama seperti ahli politik melompat parti.

Artikel Berkaitan:

“Saya keluar sebab saya teraniaya dalam parti. Saya dibuang. Saya bukan melompat parti. Dulu orang selalu kata saya suka bakar jambatan sendiri tetapi dalam UMNO saya dibuang,” katanya.

Sejarah perjalanan politik Rais boleh dikatakan penuh dengan corak yang tersendiri.

Rais, 78, sebelum ini pernah keluar daripada UMNO dan menyertai Parti Melayu Semangat 46 pada 1988 bersama-sama dengan Tengku Razaleigh Hamzah.

Anak jati Negeri Sembilan itu kemudiannya kembali menyertai UMNO dan beliau diberi kepercayaan memegang beberapa portfolio antaranya Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (2009-2013).

Sejarah karier politik Rais (barisan kedua, empat dari kanan) penuh warna-warni.
Sejarah karier politik Rais (barisan kedua, empat dari kanan) penuh warna-warni.