Kedai emas sesak: Apa jadi dengan penjarakan sosial?

Tiada penjarakan sosial di kedai menjual emas di sekitar Port Dickson.
Tiada penjarakan sosial di kedai menjual emas di sekitar Port Dickson.
A
A
A

PORT DICKSON - Harga emas yang turun sejak dua hari menyebabkan premis itu diserbu orang ramai di sekitar daerah ini.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, kebanyakan kedai emas di pekan Port Dickson dipenuhi pengunjung tanpa mengira kaum.

Namun begitu, di sebalik keghairahan ramai pengunjung yang datang untung membeli emas, pemilik kedai seakan terlupa untuk melakukan penjarakan sosial di premis mereka.

Tiada penjarakan satu meter dan kedai dipenuhi pengunjung tanpa had, menyebabkan segelintir pelanggan kurang senang dengan situasi tersebut.

Menurut salah seorang pengunjung yang ditemui, Masita Baba, 58, dia datang ke Port dickson semata-mata untuk membeli emas, kerana harga di sini lebih murah berbanding di Seremban.

"Sebelum masuk kedai pekerja mereka akan membuat pemeriksaan suhu badan, menulis nama dan nombor telefon di buku yang disediakan.

"Tetapi malangnya, tiada penjarakan sosial dalam kedai tersebut, pelanggan pula duduk secara dekat, tiada jarak satu meter.

"Pelanggan juga dibenarkan masuk tanpa had, menyebabkan saya sendiri bimbang dengan keadaan tersebut," katanya kepada Sinar Harian.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, dia yang pada mulanya ingin membeli barang kemas terbantut, apabila melihat situasi di dalam kedai itu yang tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Salah seorang pelanggan, Mohd Hair Adnan Kadir, 36, pula berkata, pemilik premis sepatutnya menghadkan jumlah pengunjung dalam satu-satu masa di dalam premis mereka bagi memastikan keselamatan pelanggan terjamin.

Katanya, tiada garisan menunggu atau garisan jarak satu meter di kedai tersebut, menyebabkan pelanggan bersesak untuk melihat barangan kemas yang dijual secara lebih dekat.

"Saya teman isteri untuk melihat emas, tetapi bila lihat keadaan dalam kedai dipenuhi pelanggan tanpa penjarakan sosial, saya terus tunggu di luar dan minta supaya isteri tidak terlalu lama, serta segera keluar," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, pihaknya akan melakukan pemantuan secara kerap di kawasan-kawasan tumpuan termasuk di semua premis perniagaan.

Katanya, jika pemilik premis didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang ditetapkan, mereka boleh dikenakan tindakan kompaun.

"Kita meminta kepada semua pengusaha yang menjalankan perniagaan agar mematuhi SOP di premis mereka tanpa gagal, tindakan tegas akan dikenakan kepada mereka yang ingkar," katanya kepada Sinar Harian.