X

Kindly register in order to view this article
!

Maklumat pesakit sebar virus Covid-19 di sekitar Juasseh palsu

Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A

KUALA PILAH - Maklumat seperti ditularkan dalam aplikasi WhatsApp mengenai wabak koronavirus (Covid-19) yang dikatakan tersebar ke sekitar Juasseh melalui seorang pesakit adalah palsu.

Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Kuala Pilah, Mohd Faizal Abdul Manap berkata, sehingga kini tiada pengesahan berhubung dakwaan tersebut oleh Jabatan Kesihatan Negeri, Negeri Sembilan.

"Maklumat tular mengatakan individu yang dijangkiti Covid-19 telah pergi merata tempat termasuk tanah perkuburan, pasar raya dan beberapa kedai runcit di sekitar Pekan Juasseh sepertimana ditularkan adalah tidak benar," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Mohd Faizal berkata, bagaimanapun memang benar terdapat satu kes baharu Covid-19 dilaporkan ke Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) Negeri Sembilan pada hari ini (30 Mei 2020).

"Ini menjadikan kumulatif kes Covid-19 di Kuala Pilah sebanyak lapan kes dan kes tersebut sedang dirawat di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban dan berada dalam keadaan stabil.

"Pejabat Kesihatan daerah juga telah membuat ujian saringan terhadap kontak rapat pesakit dan setakat ini masih tiada pengesahan mengatakan individu yang dijangkiti adalah pembawa virus dari Shah Alam.

"Jabatan Kesihatan sedang menjalankan siasatan untuk mencari punca jangkitan sama ada melalui ziarah raya atau punca lain," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Faizal menasihati orang awam supaya tidak menyebarkan sebarang berita tidak sahih yang boleh menggugat keharmonian serta mencetuskan suasana panik di kalangan masyarakat.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus