Melaka pendekkan masa kursus pra perkahwinan

Azahan
Azahan
A
A
A

MELAKA TENGAH - Kursus pra perkahwinan di negeri ini boleh dilaksanakan dengan memendekkan masa dan melalui prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) bermula 1 Jun ini.

Pengarahnya, Datuk Azahan Md Samat berkata, masa kursus dipendekkan kepada enam jam berbanding 12 jam sebelum ini sehingga tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tamat.

Menurutnya, bakal pengantin yang akan berkahwin dalam tempoh tiga bulan sahaja dibenarkan mengikuti kursus dan pengasingan peserta lelaki dan juga perempuan wajib dilakukan selain menetapkan bilangan peserta 15 hingga 20 orang sahaja dalam satu masa.

"Penyusunan semula operasi pengurusan dan pelaksanaan kursus pra perkahwinan yang dilakukan JAIM ini mengambil kira tatacara pencegahan penularan wabak penyakit Corona-19) yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN)," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tambah Mohd Azahan, kursus itu hanya dibenarkan dianjurkan dalam kawasan masjid negeri iaitu Masjid Al Azim selain di Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) seperti PAID Alor Gajah, PAID Melaka Tengah dan PAID Jasin.

Selain itu menurutnya, yuran kursus masih kekal RM95 untuk seorang peserta dan modul dan mengikut sepenuhnya Modul Bersepadu Kursus Pra Perkahwinan Islam (MBKPI) Versi 4 Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Rabu lalu, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor mengumumkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) memberi kelonggaran kepada calon suami dan isteri di negeri itu tidak perlu mengikuti kursus pra perkahwinan ekoran pandemik Covid-19.

Sebaliknya, hanya perlu ditemuduga sebelum dinikahkan di Pejabat Agama Daerah masing-masing.

Artikel Berkaitan: