20 kes baharu di Kuala Langat libatkan pekerja pembersihan KLIA

Maklumat info grafik mengenai jumlah kes Covid-19 di Selangor yang dikongsikan STFC di akaun rasminya.
Maklumat info grafik mengenai jumlah kes Covid-19 di Selangor yang dikongsikan STFC di akaun rasminya.
A
A
A

SHAH ALAM - Daerah Kuala Langat yang sebelum ini berada di zon hijau kini ditakrif sebagai zon kuning wabak koronavirus (Covid-19) apabila 20 kes baharu dicatatkan di mukim Tanjung 12 setakat jam 12 tengah hari semalam.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, selepas lebih 14 hari tanpa kes, peningkatan berlaku dalam kalangan pekerja pembersihan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang tinggal di Kuala Langat.

"Kekalkan disiplin, virus Covid-19 masih di sekitar kita," ciap beliau menerusi akaun Twitter hari ini.

Dalam pada itu, Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) menerusi Facebook rasmi mereka memaklumkan kes baharu berkenaan tidak membabitkan warga Malaysia dari sebuah syarikat.

STFC turut meminta masyarakat patuh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat Diubahsuai (PKPBD) kerana usaha pelandaian keluk graf pandemik dilakukan secara berterusan.

Selangor mencatatkan 28 kes baharu sehingga jam 12 tengah hari semalam menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 1,873 kes.

Seramai 1,516 pesakit yang dijangkiti dilapor sembuh manakala 262 kes masih aktif.

Sehingga kini sebanyak 22 kematian direkodkan di Selangor dan Hulu Langat masih ditakrif zon merah iaitu yang mempunyai 123 kes aktif Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, STFC memaklumkan mukim Bagan Nakhoda Omar dan Pasir Panjang bebas kes aktif menjadikan daerah Sabak Bernam kini dikategorikan sebagai daerah zon hijau.