Rempuh tiga kenderaan semasa dikejar polis

Suspek akhirnya berjaya ditahan selepas kenderaan dipandunya di lampu isyarat Taman Intan.
Suspek akhirnya berjaya ditahan selepas kenderaan dipandunya di lampu isyarat Taman Intan.
A
A
A

KLUANG - Seorang lelaki yang memandu sebuah kereta merempuh sebuah motosikal, sebuah kereta dan sebuah unit kereta peronda polis (MPV) ketika cuba melarikan diri semasa dikejar polis dalam kejadian di Taman Intan di sini hari ini.

Suspek yang memandu kereta jenis Proton Wira Aeroback berwarna merah sebelum itu dilihat dalam keadaan mencurigakan di Jalan Mersing pada jam 3.40 petang berhampiran kilang Sawmill sebelum sebuah MPV menghampirinya untuk melakukan pemeriksaan.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, suspek yang memandu kereta seorang diri itu bertindak melarikan diri menghala bandar Kluang sebelum masuk ke Jalan Batu Pahat-Ayer Hitam.

"MPV pertama kemudian meminta bantuan dua lagi MPV. Semasa sampai di Pusat Rekreasi Zenxin, Jalan Batu Pahat, kenderaan suspek berpatah balik menghala ke Kluang. MPV kedua dan ketiga itu kemudian membuat sekatan di hadapan lampu isyarat Felda Ayer Hitam.

"Kenderaan suspek melanggar bahagian belakang kenderaan MPV ketiga sehingga mengalami kerosakan. Kenderaan suspek kemudian berjaya melepaskan diri dan terus menghala ke Kluang," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kenderaan MPV polis remuk dirempuh kereta dipandu suspek.
Kenderaan MPV polis remuk dirempuh kereta dipandu suspek.

Katanya, semasa di lampu isyarat Kluang Barat, MPV pertama mendapat bantuan pasukan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) 4, URB 5 dan pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang.

Menurutnya, suspek yang berusia 35 tahun itu terus memandu secara melulu sebelum merempuh sebuah motosikal dan sebuah kereta Proton Waja.

Artikel Berkaitan:

"Semasa kenderaan suspek sampai di lampu isyarat Taman Intan, kenderaan suspek terbabas.

"Anggota polis berjaya menangkap suspek dan kenderaan suspek mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan dan kiri kereta," katanya.

Katanya, pemeriksaan pada badan dan kenderaan suspek menemukan satu beg kecil warna hitam tertera tulisan IBM mengandungi peralatan menghisap dadah, sebuah telefon bimbit jenis Huawei Nova 5T dan satu beg duit mengandungi lesen memandu suspek.

"Polis turut menemukan satu gunting besi, satu beg kecil merah mengandungi lima peket plastik lut sinar bahan disyaki dadah jenis heroin anggaran berat 3 gram dan dua peket lut sinar mengandungi dadah jenis syabu anggaran berat 1.05 gram," katanya.

Beliau berkata, suspek kemudiannya dibawa ke IPD Kluang untuk tindakan lanjut dan permohonan reman akan dibuat di Mahkamah Majistret Kluang esok.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 186/307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya," katanya.