JAINJ lapor polis kes al-Quran, buku agama dibuang tepi jalan

Laporan Sinar Harian pada Rabu berhubung kes berkenaan yang berlaku di Johor Bahru pada Selasa.
Laporan Sinar Harian pada Rabu berhubung kes berkenaan yang berlaku di Johor Bahru pada Selasa.
A
A
A

JOHOR BAHRU – Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) menjalankan siasatan berhubung penemuan teks al-Quran, bahan bercetak mengandungi ayat suci al-Quran serta buku agama yang dibuang di kawasan bahu jalan Bandar Tiram, di sini.

Pengarah JAINJ, Datuk Mohd Radzi Mohd Amin berkata, pihaknya memandang serius perkara itu berikutan tindakan berkenaan boleh menimbulkan kebimbangan dan sensitiviti dalam kalangan masyarakat Islam.

"JAINJ telah mengambil tindakan dengan menjalankan siasatan terhadap perkara ini bagi mengenal pasti fakta dan punca kejadian serta pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Selain itu, pihak JAINJ telah membuat laporan polis bagi tindakan selanjutnya," katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini, Polis Daerah Seri Alam mengesahkan menerima laporan berhubung penemuan bungkusan plastik mengandungi kitab al-Quran dan buku agama di kawasan Ulu Tiram pada kira-kira jam 7 pagi, Selasa.

Mohd Radzi berkata, bahan-bahan berkaitan yang dikenal pasti dalam kes itu sudah diambil pihak JAINJ dan ditempatkan di Pusat Pemurnian Al-Quran Negeri Johor bagi memastikan bahan berkenaan berada dalam keadaan terkawal serta diuruskan mengikut kaedah dan tatacara ditetapkan.

Dalam pada itu, JAINJ menegaskan pengurusan dan pelupusan teks al-Quran, bahan yang mengandungi ayat suci al-Quran serta bahan keagamaan perlu dilakukan mengikut undang-undang dan peraturan sedia ada demi menghormati kesucian serta kedudukan al-Quran.

Sehubungan itu, orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan berhubung kejadian berkenaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan turut digalakkan menyalurkannya terus kepada JAINJ menerusi talian hotline 07-2076429.

Artikel Berkaitan:

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!