X

Kindly register in order to view this article
!

Ingkar PKPB: 29 individu bersosial di pub didenda RM29,000

Gambar Hiasan
A
A

IPOH - Seramai 29 individu termasuk tiga wanita didenda RM1,000 setiap seorang oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan berhimpun di sebuah pusat hiburan, Selasa lalu.

Kesemua tertuduh yang berumur 19 hingga 37 tahun mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan serentak di hadapan Majistret Umzarul An Nur Umar.

Mereka didakwa terlibat dalam perhimpunan bagi maksud bersosial di dalam sebuah pusat hiburan di Jalan Lau Ek Ching, Ipoh kira-kira jam 9.30 malam pada 26 Mei lalu.

Mereka didakwa melanggar Peraturan 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Turut didenda jumlah yang sama ialah pemilik pusat hiburan berusia 35 tahun yang terlibat kerana menganjurkan aktiviti terlarang iaitu menjalankan perniagaan restoran di dalam pub itu di lokasi dan masa sama.

Dia didakwa melanggar Peraturan 3 Peraturan sama yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman sama.

Mahkamah turut menetapkan hukuman penjara tiga bulan sekiranya kesemua tertuduh gagal membayar denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya K Darinee manakala 29 tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) G Harbhajan Singh dan seorang lagi tertuduh diwakili peguam Lau Chee Foon.

Terdahulu, Darinee memohon tertuduh dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan orang ramai supaya tidak mengulangi kesalahan sama yang mempersiakan segala usaha keras membendung wabak Covid-19.

Bagaimanapun, Chee Foon merayu supaya hukuman rendah diberikan terhadap anak guamnya atas alasan wanita berusia 29 tahun itu hanya menghantar barangan kecantikan yang dijualnya di premis hiburan itu.

Harbhajan pula memohon mahkamah mengenakan hukuman yang rendah terhadap 29 tertuduh diwakilinya atas alasan pengakuan bersalah menjimatkan masa mahkamah dan tidak melibatkan sebarang keganasan. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus