X

Kindly register in order to view this article
!

Pengantin dikompaun buat majlis perkahwinan di kuil

Keratan Sinar Harian berhubung video tular perkahwinan di sebuah kuil sebelum ini.
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pengantin lelaki antara tiga dikompaun kerana mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) kerana terlibat dalam satu upacara perkahwinan di sebuah kuil Hindu di Seri Kembangan, Serdang, dekat sini Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan, dalam kenyataan hari ini berkata, pihaknya telah selesai menyiasat kes itu dan mengambil keterangan semua pihak yang berkait dengan majlis berkenaan.

Beliau berkata, kertas siasatan telah dirujuk ke Pejabat Pengarah Pendakwaan Selangor pada Rabu lepas dan arahan kompaun ke atas mereka terlibat iaitu pengerusi kuil, pengantin lelaki dan sami kuil telah dibuat pada 2.30 petang tadi.

Ahad lalu, tular sebuah video yang menunjukkan sebuah kuil di Serdang dikunjungi hampir 100 orang dipercayai bagi upacara perkahwinan walaupun kerajaan melarang perhimpunan termasuk di rumah ibadat berikutan pelaksanaan PKPB bagi membendung wabak Covid-19.

Dalam perkembangan lain, Ismadi berkata polis telah menahan reman lapan suspek dalam insiden pergaduhan melibatkan dua kumpulan penunda kenderaan di Serdang semalam.

Ismadi berkata, enam suspek direman empat hari sementara dua diteman dua hari ini.

“Polis masih menjalankan siasatan lanjut sementara baki suspek kini sedang giat dikesan,” katanya.

Dalam insiden kira-kira jam 2 petang itu di Jalan Serdang Raya 1/7, Seri Kembangan, dua kumpulan itu bergaduh kerana berebut pelanggan.

Dalam pada itu, Ismadi memaklumkan seorang lelaki tempatan berusia 30-an telah ditahan berhubung penemuan satu mayat di Perhentian Bas Taman Sungai Besi Indah, Serdang, di sini.

"Mahkamah Petaling Jaya membenarkan suspek direman tujuh hari di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang sementara siasatan lanjut diteruskan di bawah Sekasyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Isnin lalu, seorang gelandangan lelaki ditemukan mati disyaki dibunuh di hentian bas sebuah sekolah dekat Serdang, di sini. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus