Tun M hantar notis tolak pemecatan kepada RoS

Tun Dr Mahathir Mohamad
Tun Dr Mahathir Mohamad
A
A
A

SHAH ALAM - Tun Dr Mahathir Mohamad menerusi peguamnya telah menghantar notis kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) bagi menolak pemecatan keahlian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan kedudukan beliau sebagai pengerusi parti itu.

Peguamnya, Datuk Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, notis tersebut telah diserahkan pada hari ini dan permohonan dibuat untuk merujuk pertikaian di bawah Seksyen 16(1) Akta Pertubuhan 1966.

"Kita juga telah menyerahkan notis penolakan pemberhentian keahlian Dr Mahathir sebagai ahli Bersatu melalui surat parti bertarikh 28 Mei 2020 kepada Ibu Pejabat Parti Bersatu.

"Dr Mahathir menegaskan bahawa keahlian serta kedudukan beliau sebagai Pengerusi Parti Bersatu adalah masih kekal dan sah," katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN] - Lima ahli MPT Bersatu termasuk Tun M dipecat daripada parti

Semalam, Dr Mahathir digugurkan keahlian dari Bersatu berkuat kuasa serta-merta.

Tiga lagi ahli yang digugurkan ialah Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), Dr Maszlee Malik dan Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah.

Perkara itu dimaklumkan oleh Setiausaha Kerja Bersatu, Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya menerusi surat kepada kelima-lima ahli Parlimen itu pada Rabu lalu.

Muhammad Suhaimi berkata, keputusan itu dibuat kerana lima ahli Parlimen itu enggan duduk di blok kerajaan ketika sidang Parlimen pada 18 Mei lalu.

Artikel Berkaitan:

"Dalam sidang Parlimen pada 18 Mei 2020, YB telah duduk di blok yang tidak menyokong kerajaan Perikatan Nasional yang diterajui Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin merangkap Presiden/Pemangku Pengerusi Bersatu. Sebaliknya, YB duduk di blok pembangkang," katanya.

Katanya, keahlian Dr Mahathir bersama empat ahli Parlimen itu terhenti serta-merta menurut Fasal 10.2.2 dan 10.2.3 Perlembagaan Bersatu.